PENGENDALI skuad Seladang, Norizan Bakar mengarahkan pemainnya supaya memberikan tumpuan penuh menjelang perlawanan Liga Super menentang Perlis di Stadium Perak, Ipoh malam ini.
Menurutnya ketika dihubungi Sinar Harian, pemain perlu berwaspada memandangkan Perak merupakan pasukan tunggal yang masih belum mengalami kekalahan sepanjang kempen liga musim ini.
Pasukan lain seharusnya mencemburui Perak kerana mampu mengekalkan rekod bersih dalam lapan perlawanan.
“Saya tetap mengambil pendekatan serupa dalam setiap perlawanan sebelum ini iaitu pemain perlu memberi daya tumpuan ketika turun beraksi.
“Mengikut rekod liga musim ini, kita tidak pernah tewas dan kerana itulah pemain harus berhati-hati menentang Perlis,” katanya.
Ditanya mengenai siapakah gandingan penyerang yang bakal diturunkan, Norizan tetap berahsia dan enggan mendedahkan perkara itu.
Katanya, segala-galanya bergantung kepada keputusan yang bakal di buat pada petang esok (hari ini).
“Kita tunggu sajalah siapakah yang akan diturunkan pada pertemuan itu nanti,” katanya.
Rekod Perak di gelanggang sendiri musim ini begitu baik selepas berjaya mencatat tiga kemenangan iaitu menang 1-0 mengatasi Johor, mengalahkan Negeri Sembilan (2-0) dan menumpaskan Felda United FC (1-0).
No comments:
Post a Comment