Wednesday, April 6, 2011

PKNS enggan terlalu selesa

PENGENDALI skuad PKNS, Abdul Rahman Ibrahim enggan mendabik dada biarpun anak buahnya mendahului Liga Perdana dengan kelebihan empat mata berbanding pencabar terdekat, ATM. 

Menurutnya, banyak aspek perlu diperkemas kerana masih banyak baki saingan liga yang bakal ditempuhi pasukannya musim ini. 

“Memang dari segi pungutan mata kita selesa, namun pemain masih belum mempamerkan persembahan terbaik mereka. 

“Pemain terpaksa berhempas-pulas sebelum memastikan kemenangan setiap kali turun beraksi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. 

Bekas jurulatih kebangsaan itu mengakui tahap permainan pasukannya sedikit meningkat berbanding tahun lalu. 

Katanya, saingan kali ini lebih sengit kerana setiap pasukan memiliki kekuatan seimbang. 

Mengulas mengenai pertemuan dengan Harimau Muda B Khamis ini , Ibrahim berkata, kemenangan amat penting bagi mengukuhkan cengkaman liga. 

“Kami perlu mencari kemenangan walaupun menyedari skuad Harimau Muda B bukan sembarangan pasukan kerana mereka boleh diibaratkan pasukan Malaysia bawah 18 tahun,” katanya. 

Setakat ini, barisan pertahanan PKNS beraksi cemerlang kerana hanya dibolosi sebanyak dua gol selepas melalui lapan perlawanan. 

PKNS kini menguasai tangga teratas liga tanpa sebarang kekalahan dengan mengumpul 22 mata berbekalkan tujuh kemenangan dan satu seri.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...