Wednesday, April 6, 2011

Sarawak raih kemenangan pertama di bawah Alberts


KUCHING: Skuad Sarawak mencatatkan kemenangan pertama di bawah kendalian jurulatih baru, Robert Alberts apabila mencatat kemenangan mudah 2-0 ke atas pasukan berstatus kelab, USM FC di Stadium Olahraga USM di Pulau Pinang malam kelmarin (Isnin).
Sarawak membuka jaringan seawal minit ke-13 menerusi rembatan kencang kapten Zamri Morshidi sementara gol kedua pula menyusul tiga minit kemudian menerusi penyudah Bobby Gonzales.
Ia adalah kemenangan kelima buat skuad negeri dan yang pertama sejak perlantikan semula Alberts selaku jurulatih bagi menggantikan Mohd Zaki Shaikh Ahmad yang kini bertanggungjawab terhadap pembangunan bola sepak di negeri ini.
Dengan kemenangan itu, Sarawak terus kekal di tangga ketiga dengan mengumpul 16 mata, menjaringkan 21 gol dan hanya bolos lapan gol. Dua pasukan di hadapan Sarawak ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PKNS Selangor yang masing- masing meraih 18 dan 22 mata.
Sarawak akan beraksi di halaman sendiri (Stadium Negeri, Kuching) Jumaat ini (8 April) menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Selepas itu, Sarawak sekali lagi menjadi tuan rumah apabila menanti kunjungan pasukan Johor di Stadium Negeri pada 11 April (Isnin).
Dalam pada itu, PKNS Selangor mengukuhkan kedudukan mereka di persada Liga Perdana dengan kejayaan menewaskan Pulau Pinang 1-0, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah mereka setakat ini.
Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pula, jaringan tunggal Yusaini Hafi z Che Saad pada minit ke-75 membantu ATM mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengatasi Harimau Muda B.
Di Pulau Pinang, jaringan hatrik penyerang, Norizam Salaman berjaya membantu skuad Johor mencatat kemenangan bergaya 5-2 ke atas SDM Navy di Stadium Negeri Batu Kawan.
Dua lagi gol Johor dihasilkan oleh Jasazrin Jamaluddin dan Mohd Shaufi q Khusaini masing-masing pada minit ke-24 dan ke-90 sementara gol tuan rumah memperoleh gol mereka hasil dua jaringan Muhammad Ikram pada minit ke-13 dan 45.
Di Stadium JCorp pula, Pasir Gudang, Sime Darby mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Majlis Perbandaran (MP) Muar dengan gol tunggal dihasilkan oleh A. Varathan pada minit ke-73.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...