Thursday, April 7, 2011

Gol awal pemusnah Kelantan

KOTA BHARU - Kekalahan Kelantan kepada T-Team 3-4 pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin cukup perit untuk diterima ketua jurulatihnya, Datuk M. Karathu.

Kekalahan tersebut menyebabkan Kelantan bukan sahaja terpaksa melepaskan teraju liga kepada Selangor, malahan tercicir ke tangga ketiga di belakang Perak.

Karathu mengakui kecewa dengan aksi pemain, terutama pada babak pertama apabila memberikan dua gol mudah kepada lawan.

Menurutnya, kedua-dua gol awal itu 'membunuh' semangat juang pemainnya apabila kemudiannya seakan-akan hilang punca.

"Saya akui kami tertekan dengan jaringan yang diperolehi pasukan lawan, mental pemain tidak kuat menyebabkan mereka melakukan banyak kesilapan mudah.

"Lawan pula bijak memanfaatkan setiap peluang yang diperoleh apabila menjaringkan gol," katanya.
Karathu memberitahu, pemainnya beraksi lebih baik pada babak kedua.

"Kami cuba bangkit pada babak kedua, walaupun dikejutkan dengan jaringan ketiga lawan pada minit ke- 51, kami tetap tidak putus asa.

"Hasilnya kami berjaya menjaringkan dua gol pada minit ke-62 dan 64, sebelum tuan rumah menambah gol keempat pada minit ke-79, begitu pun kita berjaya merapatkan jurang gol pada minit ke-86.

"Semangat tidak putus asa inilah yang saya mahukan dalam setiap perlawanan, selain memberikan tumpuan dan fokus," ujarnya.

Beliau juga mahu pemain menjadikan kekalahan kepada T-Team sebagai pengajaran bagi menghadapi perlawanan seterusnya.

"Saya harap pemain kembali ke prestasi sebenar selain mendisiplinkan diri dan mengelak gawang daripada dibolosi," ujarnya.

Gaya pemain T-Team, Mohd. Norfarhan Muhammad (tengah) meraikan gol kedua pasukannya ketika menentang Kelantan dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kelmarin. - UTUSAN/Shaifudin Mohd. Nor

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...