PRESTASI tidak menentu skuad Harimau Kumbang dalam saingan Liga Perdana selepas ini bakal berubah selepas menerima suntikan dana sebanyak RM2 juta.
Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (PFA), Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, dana itu dapat digunakan untuk memantapkan pasukan itu yang kini tewas semua lapan perlawanan dalam liga musim ini.
“Pihak PFA menerima suntikan dana sebanyak RM2 juta hasil daripada pihak penaja dan jualan meja.
“Saya yakin, Pulau Pinang kembali bangkit selepas ini seterusnya memperbaiki kedudukan yang kini menghuni tangga tercorot liga,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, PFA juga sedang mencari calon jurulatih sesuai untuk membimbing skuad Pulau Mutiara selepas Robert Scully tidak lagi memegang jawatan berkenaan.
Katanya, tugasan itu kini dibimbing pemangku jurulatih, Shukor Salleh.
“Kami masih mencari jurulatih secocok untuk mengemudi pasukan Pulau Pinang musim ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment