SHAH ALAM - Kejayaan Selangor menewaskan Perak 1-0 di sini, kelmarin membuktikan Red Giants masih berupaya mengekalkan kejuaraan Liga Super yang dimenanginya musim lalu.
Jurulatih Selangor, K. Devan berkata, kemenangan itu juga membolehkan pasukannya kembali berada di tangga teratas liga dengan 26 mata selepas bekerja keras untuk menundukkan Perak di Stadium Shah Alam.
Tambah Devan, Selangor juga akan cuba memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mendapatkan mata penuh apabila melayan kunjungan Sabah, esok.
''Sebelum perlawanan menentang Perak, ramai yang beranggapan Perak mampu melakukan kejutan lagi selepas menewaskan Kelantan dengan keputusan 4-0.
''Namun, tanggapan itu meleset apabila kami yang memperoleh kemenangan dan ini juga menunjukkan Selangor masih mampu untuk mengekalkan kejuaraan musim lalu,'' katanya selepas tamat perlawanan di Shah Alam, sini, kelmarin.
Kelmarin, Selangor dan Perak bermain dengan seimbang pada separuh masa pertama, namun pada babak kedua perlawanan skuad bimbingan Devan lebih banyak melakukan serangan berbahaya selain berupaya menghuru-harakan pertahanan pasukan lawan.
Gol kemenangan Selangor diperoleh pada minit ke-68 melalui rembatan kencang Safiq yang memanfaatkan peluang kecuaian Perak.
Sementara itu, jurulatih Perak, Norizan Bakar turut mengakui pasukannya agak cuai di bahagian pertahanan sehingga membolehkan tuan rumah melakukan beberapa percubaan berbahaya.
''Ini bukanlah perlawanan terakhir kami dalam liga musim ini dan kita akan cuba untuk memperbaiki kelemahan yang ada untuk perlawanan selepas ini,'' kata Norizan.
No comments:
Post a Comment