BEKAS jurulatih Johor FC, K Devan mengesahkan dirinya sendiri yang ingin meletak jawatan selaku pengendali skuad bergelar Lebah itu dan bukannya kontrak ditamatkan atau disingkirkan pengurusan kelab dari selatan tanah air itu.
“Saya yang mahu melepaskan jawatan selaku jurulatih selepas perbincangan dengan pihak pengurusan mencapai kata sepakat bagi meleraikan pelbagai isu dan berharap Johor FC di bawah kendalian jurulatih baru mampu bangkit untuk kembali melonjak ke kelompok pertengahan liga.
“Johor FC mungkin tidak bernasib baik sepanjang saya mengendalikan skuad itu selepas terpaksa berdepan masalah kecederaan pemain dan hanya ketika menentang Selangor, baru-baru ini saja saya dapat menurunkan kesebelasan terbaik tapi masih tidak bernasib baik apabila sekadar seri 1-1.
“Ada 13 lagi perlawanan liga dan saya yakin Johor FC boleh bangkit kerana percaya skuad ini memiliki barisan pemain yang bagus dan bersedia memberi persembahan bermutu pada pusingan kedua,” kata Devan.
Pengurus skuad Lebah, Wan Nizam Wan Omar turut hairan dengan laporan yang mendakwa pengurusan Johor FC mengambil langkah drastik menamatkan kontrak Devan sedangkan bekas jurulatih skuad Lebah itu memilih melepaskan jawatannya.
“Semua itu tidak benar, Devan yang pilih melepaskan jawatan berkuatkuasa kelmarin. Malah perbincangan juga sudah diadakan berhubung kontrak beliau yang berakhir Disember ini terutama segala pampasan yang perlu diselesaikan pihak pengurusan Johor FC.
“Buat masa ini, Azmi Mohamed akan mengendalikan skuad bermula berdepan dengan Selangor dalam saingan Liga Super. Selepas itu Sazali Saidun akan mengambil alih tugas selaku jurulatih Johor FC, bergandingan dengan Azmi,” kata Wan Nizam.
No comments:
Post a Comment