Saturday, April 28, 2012

Harimau Muda perbaiki kedudukan


Harian Metro

HARIMAU Muda melonjak dua anak tangga ke kedudukan ketiga Liga Singapura (Liga-S) selepas menundukkan Hougang United 3-1 di Stadium Yishun, malam tadi.


Penjaga gol Harimau Muda, Izham Tarmizi Roslan diuji seawal minit kelima namun berjaya menangkap bola dengan kemas selepas bola sepakan percuma Ante Barac ditanduk Stanislav Vidakovic.


Tersentak percubaan awal pelawat, anak didik Ong Kim Swee bangkit mengatur strategi tapi rembatan D Saarvindran dari dalam kotak penalti melepasi palang gol.




Gol yang dinanti-nanti Harimau Muda hadir pada minit ke-20 selepas dihadiahkan sepakan penalti berpunca daripada sepakan lambung Nazmi Faiz Mansor yang terkena tangan pemain pertahanan Hougang United FC, Fazli Jaafar dan A Thamil Arasu mudah menewaskan penjaga gol, Fadhil Salim.

Kapten Harimau Muda, Affize Faisal Mamat menambah duka Hougang United FC apabila mencipta gol kedua pada minit ke-39 hasil sepakan percuma dari jarak 20 meter yang melencong tepat ke penjuru kanan pintu gol lawan.


Bagaimanapun pada minit ke-49, pemain Hougang United FC, Jordan Webb mengambil kesempatan kelekaan pertahanan Harimau Muda untuk menyambar hantaran lintang Mamadou Diallo dan menewaskan Izham Tarmizi.





Berpunca daripada serangan balas selepas sering diasak barisan serangan Hougang United, Harimau Muda memastikan tiga mata milik mereka selepas Affize Faisal menyudahkan hantaran Syahrul Azwari Ibrahim.

Harimau Muda kini mengumpul 20 mata selepas 10 perlawanan, ketinggalan satu mata di belakang Balestier Khalsa dengan Brunei DPMM merampas tangga teratas apabila membenam Woodlands Wellington 3-0.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...