Sunday, April 15, 2012

PKNS lebur rekod Lions XII

BH Online

PEMAIN  Lions XII, Harris Harun (kanan) berebut bola dengan pemain PKNS, Ahmad Azlan dalam saingan Liga Super di Stadium MBPJ, malam tadi.
PEMAIN Lions XII, Harris Harun (kanan) berebut bola dengan pemain PKNS, Ahmad Azlan dalam saingan Liga Super di Stadium MBPJ, malam tadi.


Kelantan gagal dekati wakil Singapura selepas sekadar seri dengan T-Team 

PKNS FC akhirnya muncul pasukan pertama berjaya menamatkan rentak kemenangan pendahulu Liga Super, Lions XII apabila menundukkan wakil Singapura itu 1-0 malam tadi, namun juara bertahan Kelantan gagal memanfaatkannya selepas sekadar seri 1-1 dengan T-Team.




Begitupun, Lions XII yang sudah beraksi 16 perlawanan kekal di tangga teratas dengan 33 mata manakala Kelantan yang baru beraksi 13 perlawanan mengumpul 28 mata di tangga kedua.


Di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, rekod kemenangan empat perlawanan berturut-turut Lions XII sebelum ini lebur hasil jaringan tunggal penyerang import PKNS FC, Dawood Nicoise menerusi sepakan percuma pada minit ke-79. 

Di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan yang mendahului pada minit ke-43 menerusi jaringan Nurul Azwan Roya, gagal mempertahankan kelebihan itu apabila T-Team mengikat kedudukan menerusi Khairul Izwan Khalid pada minit ke-74. 

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, tuan rumah Terengganu mengekalkan kedudukan di tangga ketiga dengan 24 mata hasil kemenangan tipis 1-0 ke atas Negeri Sembilan menerusi gol sendiri S Kunanlan pada minit ke-66. 

Di Stadium Pasir Gudang, Selangor gagal meneruskan rentak cemerlang ketika membelasah Terengganu 6-1 minggu lalu apabila sekadar seri 1-1 dengan pasukan kedua tercorot, Johor FC yang terus kempunan meraih kemenangan di laman sendiri. 


Riduwan Maon meletakkan Johor FC di depan pada minit ke-18 sebelum penyerang import Selangor, Bosko Balaban menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-81. 

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, hasrat Sabah meraih kemenangan di laman sendiri selepas sekadar seri pada dua aksi sebelum ini tidak kesampaian apabila tewas 1-3 kepada Perak. 

Biarpun mendahului menerusi tandukan Zainizam Marjan seawal minit pertama, gawang Sabah dikawal Syed Adney Syed Hussein bocor tiga kali di babak kedua menerusi Akmal Rizal Rakhli (65), gol sendiri Mafry Balang (67) dan Lazar Popovic (90).

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...