Tuesday, April 10, 2012

Terpulang pada FAM


Harian Metro

NAFI...Shabery (tengah) anggap hukuman  30 bulan ke atas Annuar tidak boleh disifatkan  sebagai kemelut dalaman.
NAFI...Shabery (tengah) anggap hukuman 30 bulan ke atas Annuar tidak boleh disifatkan sebagai kemelut dalaman.


“KALAU tak setuju, ia boleh diubah, terpulang kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), bawa ke Mesyuarat Agung, ubah peraturan itu,” kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengenai Artikel 88 Statut FAM.


Beliau berkata, artikel itu memang jelas menyatakan ahli FAM tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan membabitkan bola sepak di negara ini, namun sekiranya ada pihak tidak bersetuju dengan perkara itu, ia boleh diubah dengan meminta persetujuan semua pihak dalam mesyuarat persatuan.


“Ia seperti seorang penulis sebuah akhbar yang tidak boleh mengkritik agensinya dalam akhbar atau media lain, kerana ia bertentangan dengan peraturan syarikat. Begitu juga dengan persatuan, organisasi agensi atau kementerian.




“Saya sendiri tidak senang kalau pegawai mengkritik saya di luar, (tetapi) dia boleh mengkritik saya di dalam (kementerian) kerana kita ada mesyuarat dan perjumpaan yang sepatutnya kita dapat selesaikan secara dalaman.

“Bukannya pegawai saya pergi ke akhbar atau kementerian lain mengatakan kementerian tak guna, tak betul dan sebagainya, sedangkan kita ada ruang untuk selesaikan secara dalaman,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di Putrajaya, semalam.


Ahmad Shabery berkata, penggantungan dua tahun enam bulan ke atas Tan Sri Annuar Musa kerana mengkritik pasukan kebangsaan secara terbuka tidak boleh dianggap sebagai satu kemelut dalam persatuan itu.





Ini kerana, katanya tindakan itu adalah tertakluk kepada peraturan persatuan dan ia sebahagian daripada permainan itu.

“Dalam FAM, ada peraturan yang memberi kuasa kepada jawatankuasa disiplin membuat keputusan berdasarkan apa dilihat dan Tan Sri Annuar adalah sebahagian daripada anggota persatuan.




“Saya faham Tan Sri Annuar seorang yang penting dan banyak berjasa terutama membantu Kelantan, ramai tak puas hati dan berasa kehilangan tapi ini sebahagian daripada permainan.

“Kalau mahu mengubah terserah kepada FAM untuk menukar corak permainannya dan saya tak anggap ini sebagai satu kemelut atau krisis,” katanya.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...