PETALING JAYA - Tonggak Kelantan dan Terengganu yang masih terlibat dalam separuh akhir Piala FA dan Piala AFC 2012, dikecualikan daripada menyertai latihan pusat skuad Harimau Malaya menghadapi Sri Lanka, Sabtu ini, demi mengelakkan mereka terlalu penat.
Jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal berkata, beliau menyedari tanggungjawab mereka dengan pasukan asal dan tahap kecergasan mereka malah masih bersedia untuk memanggil semula mereka bagi tugasan lain antarabangsa, bulan depan.
"Kita kena faham soal kecergasan dan kemungkinan mereka menjadi terlalu penat apabila bermain lebih banyak (Piala FA dan Piala AFC). Saya tidak risau tanpa khidmat mereka (persahabatan antarabangsa menentang Sri Lanka) kerana kami boleh panggil balik (bagi siri persahabatan lain), bulan depan.
"Saya mahu sesiapa yang diberikan kepercayaan (di Stadium Shah Alam) nanti, turun dengan satu tekad, mencapai kemenangan," katanya selepas menghadiri Klinik Futsal Herbalife bersama Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Radzak di Sports Planet, Kota Damansara, semalam.
Empat tonggak Kelantan dan Terengganu yang jarang terlepas daripada pandangan jurulatih berusia 56 tahun itu sebelum ini ialah Khairul Fahmi Che Mat, Norshahrul Idlan Talaha, Muslim Ahmad dan Ashari Samsudin selain Joseph Kalang Tie.
Terengganu akan melayani kelab Vietnam, Song Lam Nghe An di Kuala Terengganu manakala Kelantan bakal bertandang ke lawan negara itu, Navibank Saigon, masing-masing pada esok dan Rabu ini dalam perlawanan Kumpulan F dan H Piala AFC.
Rajagobal dalam pada itu turut menggesa anak buahnya tidak sesekali memandang rendah kemampuan Sri Lanka biarpun ranking negara Asia Selatan itu berada lebih bawah, 181 berbanding 156 milik Malaysia.
Mengenai penyerang Pelita Jaya, Safee Sali di kem latihan skuad negara sejak Jumaat lalu, katanya: "Dia dijangka dapat hadir dua hari sebelum menentang Sri Lanka ekoran komitmennya dengan kelab Indonesia, Pelita Jaya sekarang,".
Skuad negara akan berdepan tiga lagi aksi persahabatan antarabangsa iaitu Filipina di Malaysia, 1 Jun dan Singapura, 8 dan 12 Jun secara timbal balik.
No comments:
Post a Comment