Thursday, April 19, 2012

Harian Metro

PUCUK dicita ulam mendatang! Begitulah keadaan menimpa Perak yang berpeluang memantapkan diri apabila mengadakan dua perlawanan persahabatan dengan pasukan Semen Padang dalam Siri Nusantara di Stadium Perak Ipoh, pada Ahad ini dan di tempat lawan, 1 Mei.


Ketika saingan Liga Super ditangguhkan hingga 3 Mei bagi membolehkan pemain kebangsaan dikumpul untuk mengadakan perlawanan pemanas badan menentang Sri Lanka pada 28 April ini, pertemuan dengan pendahulu Liga Premier Indonesia itu dianggap pentas terbaik buat jurulatih, Norizan Bakar memperkemas jenteranya.


Yang pasti, Norizan dapat menilai kemampuan sebenar skuad Seladang, terutama awang import, Albert Dominique Ebosso Bodjongo dari Cameroon untuk membentuk persefahaman bersama rakan sepasukan. Bodjongo, 23, diambil bagi menggantikan Lazar Popovic ketika tingkap perpindahan dibuka baru-baru ini dan diturunkan buat pertama kali ketika Perak melayani kunjungan Sabah dalam perlawanan pertama pusingan kedua Liga Super, kelmarin. Perlawanan itu berkesudahan seri 2-2.




Kelab Semen Padang yang terkenal dengan panggilan Kerbau Sirah itu akan tampil dengan tujuh pemain kebangsaan Indonesia, termasuk Elie Aiboy, bekas bintang yang pernah menabur bakti bersama Selangor serta empat pemain import dari Argentina, Cameroon, Korea dan Liberia.

Justeru, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Abdul Aziz Yeop Jamaluddin menganggap perlawanan bermula jam 8.45 malam itu mempunyai kesan besar buat Seladang menguji keupayaan dengan maruah dan imej bola sepak kedua-dua buah negara menjadi pertaruhan.


Selain itu, Aziz berkata, perlawanan ini juga akan menjadi aksi perpisahan bagi Popovic yang bakal meninggalkan Perak akhir bulan ini.





Menurutnya, bagi peminat Indonesia yang berada di Perak, perlawanan ini boleh diibaratkan seperti pertemuan antara Malaysia menentang Indonesia dan kedua-dua pasukan sudah pasti ingin menjaga imej negara masing-masing walaupun ia hanya perlawanan persahabatan.

Katanya, tiket perlawanan sudah mula dijual minggu lalu melalui kelab penyokong Perak dan beberapa daerah bagi memberi peluang kepada peminat yang berada di luar kawasan Ipoh menyaksikan perlawanan itu.




Penyokong kedua-dua pasukan diharap membanjiri Stadium Perak bagi memberikan sokongan terhadap pasukan masing-masing dengan penuh semangat kesukanan.

Pasukan Simen Padang dari Sumatera itu akan tiba di Ipoh esok dan menjalani latihan pemanas badan di Stadium Perak pada Sabtu, jam dari 3.30 hingga 5 petang.


Broadway Media yang membawakan perlawanan itu mengumumkan pertemuan itu akan disiar secara langsung menerusi saluran Astro Bintang dan bakal dipancarkan ke saluran televisyen Indonesia, RCTI bagi membolehkan penonton negara itu mengikuti aksi kedua-dua pasukan.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...