Monday, April 23, 2012

Kerja keras Kedah berbaloi


GERC (tengah) menjaringkan gol penyamaan Kedah pada aksi menentang Kelantan di Kota Bharu malam kelmarin. Kedua-dua pasukan seri 1-1.

PEMAIN Kedah menunjukkan kesungguhan dan disiplin tinggi untuk mengikat Kelantan 1-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam kelmarin.


Biarpun beraksi di gelanggang lawan yang mendapat sokongan hampir 20,000 penyokong, anak-anak buah Wan Jamak Wan Hassan mampu memberi tentangan sengit, sekali gus menafikan harapan Kelantan untuk meraih kemenangan selesa.
Namun, perjuangan skuad Kenari belum berakhir kerana masih ada 90 minit lagi untuk diharungi di laman sendiri pada 1 Mei depan yang pastinya mahu diterjemahkan dengan kejayaan.
Wan Jamak yang bersyukur dengan keputusan itu pasti lega dan pujian harus diberikan kepada pemainnya yang telah menunjukkan persembahan membanggakan.
"Pemain menunjukkan kesungguhan dan disiplin yang tinggi walaupun tertekan dengan sokongan padu penyokong Kelantan dan serangan bertali arus pasukan lawan.
"Biarpun tanpa beberapa tonggak utama, para pemain telah mencuba yang terbaik dan berhasil membawa pulang satu jaringan," ujar Wan Jamak.
Kelantan meraih jaringan menerusi Nor Shahrul Idlan Talaha pada minit ke-21 dan gol penyamaan Kedah dihasilkan pemain import dari Croatia, Vedran Gerc pada minit ke-30.
Perlawanan seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan pada babak pertama dan tempo berubah pada setengah jam terakhir permainan, termasuk masa tambahan yang panjang mencecah lapan minit.
Kedah yang kehilangan Wan Mohd. Sukri setelah dilayangkan kad merah, terpaksa berkampung di kawasan sendiri bagi menahan serangan bertubi-tubi anak-anak buah Bojan Hodak. Bagaimanapun, mujur tiada jaringan dihasilkan.
"Pemain tangkas bertahan dengan serangan tidak putus-putus daripada pemain pasukan lawan," katanya.
Menurut Wan Jamak, dengan keputusan itu, peluang kedua-dua pasukan untuk ke final Piala FA masih terbuka, namun pemain Kedah perlu mengambil kesempatan beraksi di gelanggang sendiri bagi meraih kemenangan.
Katanya, Kedah juga menagih sokongan padu peminat untuk menyuntik semangat pemain dengan membanjiri stadium pada perlawanan kedua 1 Mei depan.
"Peminat yang sayangkan bola sepak dan skuad Kenari diharap dapat memberi sokongan padu kepada pemain," katanya.
Tambahnya, beliau sudah mengingatkan para pemain agar memberi fokus yang tinggi dan meningkatkan disiplin pada perlawanan itu bagi memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan.
"Kedah masih berpeluang (melangkah ke final), namun apa yang penting, pemain perlu meningkatkan lagi disiplin," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...