Tuesday, April 10, 2012

Mat Zan seru pemain lupakan kekalahan


Harian Metro

JURULATIH Terengganu, Mat Zan Mat Aris menyeru anak buahnya melupakan episod hitam dicalar barisan Selangor Sabtu lalu, sebaliknya terus bertekad memperagakan aksi terbaik untuk membenam cabaran kelab Singapura, Tampines Rovers dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, petang ini.


Mat Zan berkata, kekalahan itu sudah berlalu dan tidak perlu diingati lagi kerana Terengganu mempunyai misi besar untuk mengutip tiga mata bagi mengintai peluang ke pusingan kedua.


“Saya sudah memberitahu pemain supaya bangkit dan meminta mereka segera melupakan episod duka itu walaupun hakikatnya memang sukar,” kata pengendali berusia 54 tahun itu yang turut mengaku kekalahan itu banyak memberi pengajaran berguna.




Selain itu, Mat Zan yang sedia melepaskan jawatannya andai khidmatnya tidak diperlukan lagi berkata, pihak pengurusan turut berpesan kepada anak buahnya supaya bangkit memberi fokus 100 peratus dalam misi menyaingi pendahulu Kumpulan F, Kitchhe FC dari Hong Kong.

“Reputasi Terengganu antara pasukan terkuat dalam kancah Liga M musim ini hingga terpilih mewakili negara dalam saingan Piala AFC perlu dipertahankan dan saya harap pemain mampu menunjukkan komitmen tinggi kerana beraksi di tempat sendiri.


“Saya pasti jika pemain memperagakan aksi terbaik, kita mampu mengulangi kejayaan menewaskan mereka 1-0 di tempat lawan,” katanya yang turut berharap penonton membanjiri stadium meskipun perlawanan diadakan sebelah petang.





Sementara itu, Kapten Terengganu, Mohd Sharbinnee Allawee mengharapkan rakan sepasukan meneruskan rentak kemenangan ke atas kelab itu dan berazam mempamerkan persembahan terbaik.

“Petang ini kita bukan hanya membawa misi Terengganu, malah negara dan saya menasihati diri serta rakan sepasukan melupakan kekalahan besar kepada Selangor untuk mencari kemenangan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...