Sunday, April 15, 2012
Perebutan semakin sengit
Tiga pasukan bersaing rapat buru satu slot automatik ke Liga Super 2013
SAINGAN pusingan kedua Liga Perdana yang bermula kelmarin menyaksikan perebutan satu slot automatik ke Liga Super 2013 semakin sengit dengan Tentera dan Pahang kini berkongsi tangga teratas apabila terikat 26 mata selepas 12 perlawanan.
Namun Tentera dan Pahang turut perlu memandang serius cabaran Sime Darby apabila skuad kendalian Ismail Zakaria itu meraih kemenangan ketiga berturut-turut menewaskan MBJB 3-1 di Selayang, untuk menghuni tangga ketiga dengan 24 mata.
Tentera, skuad yang dibarisi pemain bintang kini semakin kurang cengkaman di tangga teratas selepas sekadar seri 2-2 dengan Polis di Kelana Jaya, kelmarin hingga ia membangkitkan kemarahan jurulatihnya, B Sathianathan tatkala Pahang cemerlang membenam NS Betaria 2-0 di Temerloh.
“Kami seperti menyusahkan diri sendiri. Kami mencicirkan mata pada perlawanan yang sepatutnya menang. Apabila menjaringkan gol awal, pemain rasa sudah boleh menang. Tapi saya puji sikap tak putus asa pemain yang akhirnya mendapatkan gol penyamaan.
“Tapi pemain perlu pertingkat tahap permainan selepas ini. Kami perlu menang ke atas Sime Darby (14 Mei) dan Pahang (15 Jun) untuk menjarakkan mata tetapi pada masa sama, tak boleh terus tercicir mata ketika bertemu pasukan bawahan lain,” kata Sathia ketika dihubungi, semalam.
Ditanya pertemuan dengan NS Betaria di Stadium Hang Tuah, Melaka, petang esok, Sathia ringkas berkata: “Kalau kami gagal mendapatkan tiga mata penuh sekali lagi, mungkin sukar untuk Tentera bergelar juara.”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment