Tuesday, April 17, 2012

Skuad B-22 berlatih di Slovakia, Hungary


Harian Metro

SKUAD Bawah 22 Tahun negara bakal berpangkalan di Eropah bulan depan dengan mengadakan latihan dan siri perlawanan persahabatan di Slovakia dan Hungary bagi persiapan menghadapi Pusingan Kelayakan Piala Asia B-22 bermula 23 Jun ini.


Persiapan rapi itu disusun jurulatih Ong Kim Swee dalam usaha membentuk skuad terbaik bagi memastikan Malaysia mampu muncul dua pasukan terbaik Kumpulan G untuk melayakkan diri ke final kejohanan itu tahun depan.




Pada pusingan kelayakan Kumpulan G di Myanmar, skuad muda negara akan bersaing bersama pasukan pilihan Korea Selatan, Vietnam, Myanmar, Taiwan dan Filipina.




“Dengan program latihan dan perlawanan di Eropah, ia akan membantu persiapan pasukan ini bagi pusingan kelayakan itu. Saya yakin ini akan memberi manfaat kepada pasukan kerana kita perlu sedar saingan di pusingan kelayakan itu cukup mencabar.

“Pasukan lain seperti Vietnam mengadakan persiapan di Slovakia, Myanmar pula berlatih di Korea. Ini menunjukkan pasukan lain serius menghadapi kejohanan ini,” katanya.


Kim Swee berkata, beliau akan membawa 25 pemain bagi latihan di Slovakia pada 17 Mei ini selama empat hari sebelum berangkat ke Budapest, Hungary untuk mengadakan tiga perlawanan dengan Budapest Honved, Ferencvaros dan satu lagi kelab yang akan diumumkan kemudian.





Selepas itu mereka akan kembali ke Vion bagi menghadapi satu perlawanan persahabatan dengan kelab Liga Slovakia.

Persiapan anak buah Kim Swee diteruskan dengan mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad China B-22 pada 10 Jun sebelum pulang ke Kuala Lumpur bagi pertemuan dengan skuad Iran B-22 pada 17 Jun.




“China dan Iran adalah pasukan yang bagus, saya akan gunakan dua perlawanan itu untuk pemilihan terakhir pemain sebelum pergi ke Myanmar pada 21 Jun,” katanya yang membimbing skuad negara menjuarai pingat emas Sukan Sea Indonesia tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...