Saturday, April 21, 2012

Jangan ambil mudah


BANGLADESH pun lebih hebat daripada kita!Barangkali itu yang bermain di fikiran majoriti peminat bola sepak berhubung ranking terkini skuad bola sepak kebangsaan yang kini menjunam ke tangga ke-156 dunia.
Berdasarkan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang dikeluarkan 11 April lepas, skuad negara kini jatuh empat anak tangga berbanding tangga ke-152 pada Januari lepas.


Meskipun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini berasakan masih terlalu awal untuk menekan butang panik, kegelisahan penyokong ternyata ada benarnya.
Apa tidaknya, selain merupakan ranking terburuk skuad negara sejak Januari lepas, kedudukan terkini Harimau Malaya juga lebih rendah berbanding Bangladesh (ke-152) dan Nepal (ke-149).
Sementara dalam kalangan negara Asia Tenggara pula, Malaysia berada di tempat kelima di belakang Vietnam (97), Thailand (141), Filipina (148) dan Indonesia (151).
Ketika diminta mengulas mengenai perkara itu, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, pihak pengurusan FAM dan pemain perlu menyedari kepentingan ranking FIFA.
Ini kerana menurutnya, ranking Harimau Malaya perlu berada sekurang-kurangnya ke-100 terbaik dunia sekiranya ada mana-mana pemain tempatan yang berhasrat untuk beraksi di Liga Eropah.
“Pada masa sama, semua harus faham keengganan pasukan yang memiliki kedudukan yang lebih baik menentang pasukan kebangsaan juga merupakan antara faktor mengapa ranking kita jatuh.
“Suka tidak suka, kita terpaksa beraksi menentang pasukan di tangga yang lebih bawah. Jadi pemain dan pengurusan FAM perlu sedar dan tahu kepentingan ranking skuad negara, seelok-eloknya kita perlu elak daripada kalah (kepada pasukan ranking yang lebih rendah).
“Jika tidak, sukar pemain hendak beraksi di pentas Eropah semata-mata ranking kita tidak cukup bagus,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan alat kecergasan baharu ‘Power Plate My7’ keluaran Universal Fitness & Leisure (UFL) di ibu negara semalam.
Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi dan Pengarah Urusan UFL, Datuk Radha Krishnan.
Mengulas lanjut Tengku Abdullah menjelaskan, meskipun enggan meletakkan sebarang tempoh untuk mencapai sasaran ranking ke-100 terbaik dunia, beliau benar-benar berharap supaya Harimau Malaya mampu menjadi antara 10 kuasa terkuat rantau Asia terlebih dahulu.
“Hendak kata mahu jadi No. 1 Asia nanti macam angan-angan pula, jadi ada baiknya muncul antara 10 terbaik Asia dulu baru letak sasaran ke-100 terbaik dunia.
“Pada masa sama, saya juga berharap supaya FAM sentiasa berada dalam suasana harmoni sampai bila-bila,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...