Friday, April 20, 2012

Badi jersi nombor 10 hantui Eppale


Harian Metro

SEOLAH-OLAH terkena sumpahan apabila setiap pemain Sarawak terutama import yang menyarung jersi bernombor 10, pasti membawa kepada kehampaan.


Contoh lebih tepat apabila aksi trio Sarawak, bermula bekas penyerang Cameroon, Kalle Sone, disusuli Verdan Muratovic (Croatia) dan terbaru rakan senegara Sonne, Joel Eppale sudah cukup membuktikan hakikat itu.


Tapi, nasib berlainan ke atas dua bekas pemain Sarawak Mohd Safee Sali dan Bobby Gonzales apabila nombor jersi sama memberi tuah kepada mereka.


Yang menghairankan adalah kedua-dua pemain itu muncul penjaring terbanyak Sarawak, masing-masing dalam Liga Super dan Liga Perdana.

Namun, pada Liga Super musim ini, jersi nombor 10 itu dianggap kurang bernasib baik bagi mereka yang menyarungnya kerana gagal menunjukkan prestasi diharapkan.


Sone adalah pemain pertama memakainya tapi dia hanya sempat beraksi sekali dalam perlawanan Liga Super. Dia gagal menjaringkan gol akibat kecederaan dialaminya dan kontraknya dengan Sarawak ditamatkan.



Kemudian giliran Muratovic pula yang sekali lagi gagal menepati sasaran pengurusan pasukan dan mengalami nasib sama seperti Sone.

Kini peluang Eppale memakainya, namun pemain bertaraf dunia itu turut mendapati jersi itu tidak membawa tuah kepadanya.




Selepas memakai jersi itu, Eppali masih gagal menjaring sebarang gol. Eppale hanya menjaringkan satu gol ketika perlawanan persahabatan menentang Harimau Malaya baru-baru ini tapi dalam aksi tersebut pemain itu memakai jersi nombor 22.

Sementara itu, ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts yang agak terkilan dengan kegagalan Eppale menjaringkan gol, berharap dia beraksi lebih baik pada pertemuan menentang Kuala Lumpur.


“Dengan latar belakang sebagai pemain pernah beraksi dengan beberapa kelab ternama Eropah dan selaku bekas pemain Piala Dunia Cameroon, Epple seharusnya boleh menjaringkan sekurang-kurangnya lapan gol dalam baki perlawanan Liga Super musim ini.” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...