Thursday, April 19, 2012

Import Kedah duri dalam daging S’wak



KUCHING: Dua gol jaringan pemain import baharu Kedah, Vedran Gerc pada separuh masa kedua memastikan skuad kendalian Wan Jamak Wan Hassan pulang dengan tiga mata berharga setelah menewaskan Sarawak pada perlawanan pusingan kedua Liga Super di Stadium Negeri, malam kelmarin.

Pemain kelahiran Croatia yang menggantikan Hamidan Mohammed, pemain import yang digugurkan pada Jumaat lalu, menewaskan penjaga gol Sarawak Sani Anuar Kamsani pada minit ke 54 dan 55 setelah bijak menghidu kecuaian di benteng pertahanan lawan.



Sokongan lebih 20,000 penonton Sarawak ternyata tidak menggugat keazaman Sang Kenari untuk mencuri tiga mata bagi menebus kehampaan tewas di tempat sendiri minggu lepas.

Sarawak bermula dengan baik dan menguasai permainan pada 30 minit pertama.

Gandingan penyerang Joel Epalle, Ashri Chuchu, Guy Bwele dan Zamri Morshidi banyak mengkucar-kacirkan pertahanan lawan, namun kekebalan benteng Kedah yang diketuai oleh bekas pemain kebangsaan, Mohd Sabre Mat Sabu memastikan tuan rumah buntu mencari gol.

Peluang terbaik Sarawak hadir pada minit ke-39 apabila Bwele menggelecek dua pemain Kedah sebelum melorongkannya kepada Epalle yang hanya mampu meledak tinggi melewati palang gol Kedah.

Tergamam dengan jaringan Vedran, Sarawak menggandakan serangan dan melakukan tiga pertukaran pada separuh masa kedua.

Pada minit ke-67, Mohd Helmi mendakap kemas tandukan Epalle setelah mendapat hantaran tinggi daripada Ashri.

Epalle berpeluang untuk memperolehi gol sagu hati untuk Sarawak pada minit terakhir permainan tetapi rembatan kencangnya terbang tinggi.

Jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata, anak-anak buahnya bermain dengan baik pada 30 minit pertama dan sering melakukan serangan-serangan berbahaya ke kubu lawan.

Namun, penyudah yang tumpul dan kecuaian barisan pertahanan menghampakan misi mengutip tiga mata penuh.

“Kita tidak bermain seperti minggu lepas. Para pemain juga gagal berkomunikasi dengan baik di padang dan menyebabkan pihak lawan mengambil kesempatan.

“Serangan kita tumpul dan banyak mensia-siakan peluang yang ada. Segalanya serba tak menjadi malam ini (malam kelmarin),” ujar Alberts dengan nada kecewa.

“Barisan pertahanan banyak melakukan kesilapan mudah. Ini dibuktikan dengan dua jaringan Vedran dalam tempoh dua minit sahaja.”

Beliau juga menggesa agar Epalle meningkatkan lagi prestasinya sekali gus menjaringkan gol pada pertemuan menentang Kuala Lumpur pada 8 Mei nanti.
Sarawak kekal di tangga kelapan selepas memungut 18 mata manakala Kedah berada di tangga ke 12 dengan 16 mata.

Perlawanan malam kelmarin turut disaksikan oleh Pemangku Sultan Kedah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...