Tuesday, April 10, 2012

Brunei tunjuk minat sertai Liga Malaysia


Harian Metro

SKUAD Bawah-21 Brunei yang sebelum ini memenangi Trofi Hassanal Bolkiah (HBT) berpeluang mempertingkatkan tahap permainan dengan bermain dalam Liga Malaysia, kata Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Negara Brunei (NFABD) Putera Sufri Bolkiah.


“Jika kita mahu menjadi lebih baik, kita perlu (kaji untuk bermain dalam Liga Malaysia). Lagi banyak mereka bermain di luar negara, mereka akan menjadi lebih baik,” kata Putera Sufri, dipetik dalam laman web Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).




“NFABD kini mengkaji perkara ini. Kami masih di peringkat perancangan.” Sultan Brunei pada bulan lalu memberitahu skuad yang menjuarai HBT itu akan menjadi tonggak pasukan bola sepak Brunei di bawah seliaan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.




Skuad Bawah-21 Brunei menjuarai HBT selepas kemenangan 2-0 ke atas Indonesia dalam edisi keempat kejohanan dwitahunan itu yang berlangsung di Bandar Seri Begawan pada Mac lalu.

Kementerian Belia dan Sukan Malaysia pada Januari lalu tidak menolak kemungkinan mempelawa Brunei menyertai semula Liga Malaysia dalam usaha memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara menerusi sukan.


Menteri, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan NFABD akan merumuskan mekanisme bagi penyertaan Brunei itu.




Brunei pernah bermain dalam Liga Malaysia (ketika itu dikenali sebagai Liga Semi-Pro) dari 1989-1993 sebelum menyertai Liga Singapura pada 2009.

Kali terakhir Brunei memenangi Piala Malaysia ialah pada 1999 selepas mengalahkan Sarawak 2-1 di Stadium Merdeka. - Bernama


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...