Friday, April 20, 2012

Gerc, Khyril mampu gegar Kelantan


Harian Metro

KETUA pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar yakin keserasian gandingan penyerang import baru, Vedran Gerc bersama Mohd Khyril Muhymeen Zambri mampu mengatasi Kelantan pada separuh akhir pertama Piala FA di Kota Bharu, malam esok.


Katanya Gerc sudah mula menyesuaikan diri dengan corak permainan Kedah selepas menjaringkan kedua-dua gol pada perlawanan sulungnya dalam Liga Super menentang Sarawak di Kuching, Selasa lalu.




Baddrol berkata, dia berharap memperoleh bekalan gol selesa pada perlawanan esok sebelum aksi pusingan kedua di Stadium Darul Aman pada 1 Mei.




“Saya harap strategi diatur jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan digunakan sepenuhnya semua pemain untuk kemenangan,” katanya kepada Bernama.

Katanya, walaupun Kelantan mempunyai barisan pemain berpengalaman yang sukar ditandingi, beliau yakin pasukannya mampu layak ke final.


Sementara itu, Wan Jamak berkata, kehadiran Gerc diharap membantu pasukan itu untuk lebih menyengat di bahagian serangan bagi membantu Kedah menghasilkan lebih banyak jaringan.





Beliau tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kepada Gerc dalam memburu gol kerana yang penting adalah komitmen dan bekerjasama untuk menghasilkan kelebihan gol sebagai bekalan ke Stadium Darul Aman.

“Tidak kira siapa yang menjaringkan gol di Kelantan, yang penting kita perlu mencipta kejutan di tempat lawan walaupun Kedah berada pada kedudukan tercorot Liga Super,” katanya.




Wan Jamak berkata pemain import, Abdelfatah Safi yang mengalami kecederaan sebelum ini diharap dapat kembali dalam kesebelasan utama pasukan bagi mencorakkan strategi berkesan menghadapi Kelantan.

Katanya beliau juga mengingatkan pemain pertahanan, Azmizi Azmi tidak melakukan sebarang kesilapan dalam kotak penalti yang boleh memberi kemenangan kepada pasukan lawan seperti yang pernah terjadi ketika bertemu Sarawak pada saingan Liga Super, minggu lalu.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...