SIKAP penyokong yang suka membaling mercun sukar dibendung di Kelantan. |
BOLA sepak Kelantan memiliki susur galur sejarah yang cukup panjang dan unik, perjalanan dan jatuh bangun pasukan ini sentiasa menarik untuk ditelusuri.
Pernah dianggap 'kilang' yang melahirkan ramai nama-nama besar dan berstatus legenda seperti Dali Omar, Mahadi Yusof, Nik Salleh Nik Man, Hashim Mustapha, Wan Ezila Daud dan Nik Fauzi Nik Hassan, Kelantan kini mampu berbangga dengan pencapaian yang telah dikecapi.
Menjadi pasukan negeri pertama terperosok di kancah liga kelas ketiga, Liga FAM, Kelantan kemudian bangkit menjadi kuasa besar baharu bola sepak Malaysia selepas menjulang Piala Malaysia dan Liga Super.
Era kebangkitan Kelantan bermula pada musim 2008 apabila tampuk kepimpinan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diambil alih oleh Tan Sri Annuar Musa yang telah banyak melakukan perubahan.
Transformasi secara menyeluruh termasuk daripada segi pengurusan dan barisan pemain yang disenaraikan meletakkan Kelantan antara pencabar yang perlu digeruni dalam saingan Liga Malaysia.
Sokongan yang diterima daripada para peminat cukup menakjubkan apabila berbondong-bondong penyokong mereka mula membanjiri Stadium Sultan Muhammed Ke-IV malah, aksi Kelantan di gelanggang lawan juga mendapat sambutan yang menggalakkan.
Namun, dalam usaha meletakkan mereka sebagai gergasi bola sepak tempatan, Kelantan juga tidak pernah terlepas daripada tercalit dengan pelbagai isu dan kontroversi yang menyelubungi pasukan tersebut.
Perlawanan pertama Liga Super 2009 menyaksikan Kelantan bertemu KL Plus di Kota Bharu dan pasukan pelawat diberikan kemenangan percuma apabila KAFA dipersalahkan kerana didakwa tidak menyediakan padang yang sempurna sehingga perlawanan tersebut dibatalkan kerana hujan lebat dan padang digenangi air.
Kejadian tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat dan desakan demi desakan yang dilakukan menyebabkan FAM menukar keputusan tersebut untuk mengadakan semula perlawanan berkenaan.
Sejarah yang tidak mungkin lenyap dalam memori para peminat bola sepak Malaysia pastinya insiden yang berlaku pada 7 April 2009 apabila sebuah trak polis dibakar dan kereta penonton dipecahkan selepas penyokong Kelantan mengamuk di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV dalam saingan separuh akhir Piala FA pertama menentang Negeri Sembilan.
Padahnya, FAM mendenda KAFA sebanyak RM90,000 dan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV digantung daripada mengadakan sebarang perlawanan Liga Malaysia sehingga akhir musim.
Keputusan tersebut nyata mewujudkan konfrantasi antara peminat Kelantan dan FAM apabila mereka menganggap keputusan tersebut sebagai keterlaluan dan tidak masuk akal.
Atas desakan peminat, akhirnya FAM mula menggunakan budi bicara dan Stadium Sultan Muhammed Ke-IV hanya digantung enam perlawanan dan sepanjang digantung, Kelantan terpaksa beraksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang nyata memberi impak kepada prestasi pasukan pada waktu itu.
Jika isu denda akibat kelakuan penonton, KAFA mungkin antara persatuan yang paling banyak di denda dan puluhan ribu ringgit telah dihabiskan oleh KAFA untuk membayar denda kepada FAM gara-gara ketaksuban para penyokong sehinggga situasi membaling mercun dan objek ke dalam padang menjadi satu tabiat yang cukup sukar untuk dibendung.
Terbaharu, kemarahan penyokong Kelantan kembali meledak apabila Timbalan Presiden FAM, Annuar yang juga Presiden KAFA dikenakan tindakan gara-gara kenyataan dikeluarkan mengenai pasukan Harimau Malaya dianggap sebagai kritikan yang mengaibkan FAM.
FAM sebagai sebuah badan induk yang menguruskan bola sepak negara menerusi beberapa individu kemudiannya bangkit 'membantai' kenyataan yang dikeluarkan oleh Annuar itu yang tidak seharusnya disebarkan kepada media.
Bagi FAM, sebarang kritikan haruslah melalui saluran yang betul dan pasukan Harimau Malaya di bawah kelolaan FAM tidak harus direndah tarafkan oleh sesiapa sahaja termasuklah Annuar yang merupakan orang ketiga di dalam FAM.
Akhbar sebelum ini menyiarkan laporan Annuar sebagai berkata:
"Terus terang saya katakan secara peribadi prestasi tidak menentu dan kadang kala kita dengar alasan-alasan yang tidak semua orang boleh terima. Tiap kali kita kata nak cuba. Bola sepak adalah benda yang berjalan sepanjang masa. Kita tidak boleh kata kita buat ini untuk empat tahun akan datang. Siapa boleh jamin kita akan lebih baik empat tahun lagi".
Mungkin dengan kenyataan itulah, membuatkan ramai yang tersinggung malah, tidak kurang pula yang menggunakan kedudukan masing-masing untuk menyerang Annuar.
Kritikan tersebut dilihat sebagai satu dosa yang tidak boleh diampunkan kerana ada yang berpendapat kenyataan itu menyebabkan maruah Malaysia sebagai pemenang Piala AFF Suzuki dan pingat emas Sukan SEA baru-baru ini tercalar teruk.
Sejarah sebelum ini juga membuktikan mereka yang lantang mengkritik FAM dalam usaha membangunkan bola sepak negara akhirnya 'diterajang'.
Lihat sahaja apa yang berlaku kepada allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil, pengurus pasukan Johor era 90-an, Datuk Suleiman Mohd. Nor dan Datuk Taha Arifin dari Sarawak serta Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (Perak).
Kesemua mereka ini telah membuktikan mereka berjaya melakukan reformasi dalam persatuan bola sepak masing-masing tetapi, apabila mereka lantang mengkritik untuk menjadikan FAM itu sebuah persatuan yang lebih baik, mereka akhirnya terpaksa menerima padah.
FAM seharusnya dilihat sebagai sebuah institusi yang mempunyai 'jiwa' yang besar, menerima kritikan dengan lapang dada terutama apabila ia melibatkan usaha untuk melakukan penambahbaikan.
Sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab membangunkan sukan bola sepak di negara ini, tidak ada pihak mampu untuk mempertikaikan jasa dan pengorbanan FAM mengekalkan bola sepak sebagai sukan paling popular.
Oleh yang demikian, FAM tidak perlu menjadi sebuah badan yang kebal sehinggakan tidak mampu untuk 'diusik' mana-mana pihak walaupun kritikan tersebut dilihat sebagai relevan.
Apa pun, Annuar sudah berdepan Jawatankuasa Tatatertib dan seperti dijangka, dia digantung selama 30 bulan tanpa boleh terlibat dalam semua aktiviti bola sepak kelolaan FAM.
Sekiranya Annuar percaya apa yang dilakukan itu betul demi maruah bola sepak negara, dia tidak perlu gentar demi sebuah kebenaran.
facebook,com
ReplyDelete