Friday, April 27, 2012

Wan Jamak resah tunggu status dua tonggak



ALOR SETAR - Kedah yang mengintai aksi akhir Piala FA buat kedua dalam tempoh tiga tahun dilanda keresahan apabila hasrat untuk membariskan kesebelasan utamanya masih samar berikutan Safi Alfatah dan V. Thirumurugan belum pasti pulih daripada kecederaan menjelang perlawanan separuh akhir kedua minggu depan.

Kehadiran semula dua pemain tonggak itu ditagih Sang Kenari bagi membolehkan jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan merumuskan percaturan terbaik untuk menghadapi Kelantan di Stadium Darul Aman pada 1 Mei ini.



Kedua-dua pemain berkenaan yang sekadar menjadi pemerhati ketika Kedah seri 1-1 pada perlawanan separuh akhir pertama di Kota Bharu, Sabtu lalu bagaimanapun telah menjalani latihan ringan bersama pasukan dan sama ada mereka dapat diturunkan akan diketahui dalam beberapa hari lagi.

Wan Jamak berkata, tempoh rehat selama 10 hari sebelum aksi separuh akhir kedua memberi kesempatan kepada skuad Hijau Kuning untuk membuat persiapan rapi termasuk daripada segi fizikal dan mental.

Namun, katanya, dia sedikit risau jika tempoh itu belum mencukupi bagi Safi dan Thirumurugan untuk kembali cergas sepenuhnya akibat kecederaan yang membelenggu mereka.

“Saya berharap akan mendapat berita baik daripada panel perubatan nanti. Apa pun, Kedah tetap menjanjikan persembahan terbaik sekalipun Safi dan Thirumurugan yang dibelenggu kecederaan belum tentu diturunkan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Menurut Wan Jamak, meskipun Kedah berjaya mengikat Kelantan pada perlawanan separuh akhir pertama, dia tidak melihatnya sebagai satu kelebihan kepada Sang Kenari kerana masih ada baki 90 minit perlawanan yang perlu diharungi pemainnya.

Sehubungan itu, katanya, barisan pemain Kedah bukan sahaja perlu mempamerkan komitmen seratus peratus malahan mereka perlu mempunyai ketahanan mental dan fizikal selain konsisten mengikuti corak taktikal yang bakal diterapkannya.

“Beraksi di gelanggang sendiri memberi sedikit kelebihan kepada Kedah tetapi harus diingat perlawanan ini bukan mudah. Jika silap percaturan akan mengundang kekecewaan," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...