Friday, April 27, 2012

Ahmad harap Penyu kekal momentum



DUNGUN - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berharap agar pasukan Terengganu mengekalkan momentum selepas menang bergaya 6-2 ke atas kelab Vietnam, Song Lam Nghe An apabila menentang Sime Darby dalam saingan separuh akhir kedua Piala FA, Selasa depan.

Katanya, momentum itu amat diperlukan bagi memastikan skuad Penyu melangkah ke perlawanan akhir sekali gus mempertahankan gelaran yang dimenangi mereka musim lalu.



"Alhamdulillah, kita menang malam tadi (kelmarin) dan ada peningkatan yang ditunjukkan selepas saya mengadakan perjumpaan dengan pengurusan dan jurulatih untuk membuat perubahan dalam pasukan.

"Ternyata formula kita menjadi kali ini," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad turut menyifatkan tindakan segelintir penyokong yang memprotes pasukan berikutan aksi hambar sejak kebelakangan ini sebagai tidak rasional.

"Terpulanglah kepada mana-mana penyokong yang ingin bertindak memprotes pasukan kita (Terengganu) dan situasi itu jelas menunjukkan mereka adalah peminat yang tidak rasional.

"Dalam setiap perlawanan bola sepak, siapa yang tidak ingin melihat pasukan pilihan menang. Tapi adatlah dalam sukan bola sepak ini. Ada menang dan ada yang kalah, tetapi selaku peminat sejati kita kena terus beri sokongan," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berharap kemenangan 6-2 pada perlawanan menentang Song Lam, kelmarin dapat meredakan kemarahan penyokong yang sebelum ini tidak berpuas hati dengan prestasi pasukan.

Beliau juga memuji sikap pemain yang tidak menghiraukan cemuhan serta tindakan penyokong, malah mampu bermain dengan baik.

"Pada saat pelbagai kontroversi melanda, skuad ini mampu melakar kejayaan seumpama ini dan kita harap momentum itu diteruskan untuk memburu misi juara Piala FA 1 Mei ini," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...