Sunday, April 15, 2012

Alberts puji S’wak menang di Kedah




KUCHING: Skuad Ngap Sayot balik dengan senyuman semalam apabila membenam Kedah 2-0 pada saingan Liga Super 2012 di Stadium Darul Aman, Kedah malam kelmarin (Jumaat).


Dua jaringan Sarawak masing-masing disumbangkan oleh pemain sayap, Mohd Shahrol Saperi minit ke-72 dan pemain kebangsaan, Ashri Chuchu minit ke-84.





Mengulas kemenangan skuadnya, ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata babak pertama anak-anak buahnya tampak kurang bersemangat dan memberi peluang kepada pasukan tuan rumah untuk melakukan asakan.


Kedah berjaya menghasilkan jaringan seawal babak permainan namun gol pembukaan pasukan tuan rumah dibatalkan oleh pengadil kerana ‘offsaid’.


“Saya akui pemain-pemain kita menerima tekanan sedikit dalam babak pertama, namun mereka dapat mengawal permainan dan berjaya membalas serangan,” katanya.


Menurut Alberts, anak-anak buahnya mampu mengimbangi perlawanan dan berupaya menyekat asakan Kedah.


Namun, katanya, babak kedua ternyata skuadnya berjaya bangkit dan melakukan asakan bertali arus dari pelbagai sudut melalui pemain perancang, Joel Epalle.


“Epalle banyak melakukan umpanan cantik di hadapan gawang Kedah dan kedua-dua jaringan yang disempurnakan oleh Shahrol dan Ashri berpunca daripada hantaran Epalle,” katanya.


Alberts turut memuji kombinasi terbaik telah dipersembahkan jentera bahagian tengah dan serangannya.


“Jentera tengah dan serangan kita berfungsi dengan baik dan ini memberi ruang kepada kita mampu melakukan jaringan,” katanya sambil berharap kemenangan itu akan menjadi pembakar semangat apabila menanti kunjungan Kedah Selasa depan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...