Monday, April 9, 2012

Selangor kembali mencabar


Harian Metro

KAPTEN Selangor, Mohd Amri Yahyah mengharapkan rentak kemenangan dapat diteruskan Merah Kuning bagi memastikan usaha mencabar kejuaraan Liga Super terus bernyala.


Menurut pemain paling berpengalaman dalam skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu, mereka tidak mempunyai cara lain selain menghadapi baki perlawanan dengan mempamerkan komitmen yang tinggi selepas melepaskan banyak mata pada peringkat awal saingan Liga Super.




“Peluang untuk bergelar juara masih terbuka. Cuma kami perlu menangani setiap perlawanan dengan baik,” katanya selepas membimbing rakan sepasukannya membenam cabaran Terengganu 6-1, yang juga kemenangan terbesar musim ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, malam kelmarin.




Pemain berusia 31 tahun itu turut menyumbang dua gol ketika membantu kemenangan 6-1 itu yang menyaksikan Selangor melonjak ke tangga keempat Liga Super dengan 20 mata di belakang LionsXII, Kelantan dan Terengganu.

“Kami berjaya mengambil kesempatan ke atas keletihan yang dialami pemain Terengganu yang terpaksa bersaing dalam Piala AFC beberapa hari lalu. Jadual yang padat nyata mempengaruhi permainan mereka yang turut bersaing dalam Liga Super dan Piala FA.


“Namun kami juga banyak mempamerkan peningkatan berbanding perlawanan sebelum ini. Antaranya adalah komitmen dan fokus yang diberikan rakan sepasukan sehingga wisel penamat, satu perkembangan yang bagus kerana kealpaan pada lewat permainan menghampakan kami sebelum ini,” katanya.



Selangor bagaimanapun berdepan tugas berat pada Sabtu ini apabila dijadualkan menentang Johor FC, kelab bimbingan bekas jurulatihnya, K Devan yang turut berjaya menyingkirkan mereka pada pusingan kedua Piala FA sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...