Friday, April 20, 2012

Bodjongo tekad ledak


Harian Metro

AWANG import baru Perak, Albert Dominique Ebosso Bodjongo tidak bimbang gagal menyumbang sebarang gol buat pasukan barunya ketika turun pertama kali menentang Sabah di Stadium Perak, malam kelmarin.


Sebaliknya pemain itu bertekad meledak gol pada perlawanan akan datang dalam usaha membuktikan kemampuan sebenarnya kepada pegawai dan peminat pasukan Kejor Yob Kejor.




Walaupun kurang fasih berbahasa Inggeris kerana berasal dari negara yang menggunakan bahasa Perancis sebagai pertuturan utama, Bodjongo, 23, masih mampu membuatkan dirinya difahami betapa dia memikul tugas berat menjadi peledak pasukan.




“Saya sedar tugas sebagai penyerang ialah menjaringkan gol. Justeru saya akan berusaha melakukannya dalam perlawanan selepas ini. Jadi saya tidak berasa tertekan kerana masih ada banyak masa untuk melakukannya,” katanya.

Pemain itu yang disambut baik peminat Seladang berikutan persembahan bertenaga ketika turun menentang Sabah, terharu dengan sambutan hangat diberikan peminat tuan rumah.


“Saya suka dengan apa yang saya lihat. Peminat di sini begitu sayangkan pasukan ini. Saya yakin akan menikmati suasana memberangsangkan dan berharap mampu membalas sokongan padu mereka,” katanya.





Pemain itu juga yakin mampu menyesuaikan diri dengan corak pasukan baru yang pada pendapatnya sebuah pasukan yang bagus dan mampu menjadi pencabar unggul liga.

Pada perlawanan yang berkesudahan 2-2 itu, pemain tuan rumah, Michal Kubala dan penyerang pelawat, Zainizam Marjan masing-masing menyumbang dua gol untuk membolehkan pasukan masing-masing mengutip satu mata daripada perlawanan sulung pusingan kedua itu.




Jurulatih Sabah, Justin Ganai menyifatkan nasib tidak menyebelahi anak buahnya apabila sekadar pulang dengan satu mata ketika kemenangan sudah di ambang mata sebelum Kubala menyepak masuk gol penyamaan beberapa saat sebelum wisel penamat dibunyikan.

“Bola sepak kadang-kadang memerlukan nasib. Ternyata nasib tidak menyebelahi Sabah. Saya ingatkan kami sudah berjaya tetapi lain pula jadinya,” katanya.


Sementara rakan sejawatan dalam pasukan Perak, Norizan Bakar menyifatkan keputusan seri itu adil dan menganggap kesungguhan anak buahnya sebagai faktor mereka mampu berkongsi mata.


Apapun Norizan mengaku masih banyak perlu dilakukan bagi memperbaiki kelemahan anak buahnya dan tempoh berehat hampir tiga minggu akan dimanfaatkan untuk meningkatkan pasukan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...