Wednesday, April 11, 2012

Artikel 88 dikaji


METERAI...Tengku Abdullah (kanan) berjabat tangan dengan Kinnear pada majlis pengumuman Jelajah Asia 2012 skuad Arsenal, semalam.
METERAI...Tengku Abdullah (kanan) berjabat tangan dengan Kinnear pada majlis pengumuman Jelajah Asia 2012 skuad Arsenal, semalam.


TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyatakan kesediaan mengkaji semula Artikel 88 Statut FAM yang mengakibatkan rakan sejawatnya, Tan Sri Annuar Musa dijatuhkan hukuman penggantungan dua tahun enam bulan.


Beliau berkata, tindakannya untuk mengkaji semula Artikel itu bukan bertujuan mempertikai keputusan Jawatankuasa Tatatertib berhubung isu Annuar sebaliknya ingin mencari jalan penyelesaian sekiranya terdapat sebarang kelemahan.




“Saya mahu meneliti semua Artikel itu, mungkin ada yang perlu dikaji semula, menambah Artikel baru demi kebaikan,” katanya selepas sidang media pengumuman Jelajah Asia 2012 Arsenal ke Malaysia semalam.




Selain itu Tengku Abdullah turut mempertahankan kenyataannya berhubung isu Annuar, Sabtu lalu yang disifatkannya hanya berniat untuk membantu meredakan ketegangan yang tercetus biarpun ada pihak berpendapat beliau juga mungkin boleh dikenakan tindakan yang sama.

“Memang saya juga tertakluk kepada peraturan tapi ada masanya saya juga perlu menyuarakan pendirian, pendapat mengenai perkara itu, saya juga manusia. Saya harap kenyataan media saya itu OK, kenyataan saya itu tidak menyentuh hal skuad bola sepak kebangsaan atau polisi FAM.


“Saya cuma menawarkan diri sekiranya saya boleh membantu menyelesaikan masalah, bukannya untuk campur tangan. Saya mahu kita lebih memberikan tumpuan kepada bola sepak. Saya tidak mempersoalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib atau titah Tuanku mengenai keinginan saya itu,” katanya.





Menerusi kenyataan yang dihantar menerusi emel kepada media, Tengku Abdullah menyatakan rasa simpati terhadap Annuar yang disabitkan bersalah atas dua pertuduhan kerana mengkritik secara terbuka prestasi skuad bola sepak kebangsaan dan beliau turut menawarkan diri sebagai pengantara untuk menamatkan kemelut itu.

Bagaimanapun kenyataan Tengku Abdullah itu disanggah Presiden Sultan Ahmad Shah yang tidak bersetuju dengan hasrat itu sambil menyatakan pendirian akan tetap menyokong penuh dengan keputusan diputuskan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Taufek Abdul Razak, minggu lalu.



Menurut Artikel 88 peraturan 2010-2014 FAM, hanya Presiden dan Setiausaha Agung dibenarkan membuat kenyataan. Sekiranya ada di kalangan mereka yang di bawah naungan FAM ingin membuat kenyataan, mereka perlu meminta kebenaran kongres terlebih dulu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...