HARIMAU Malaya tidak sesekali memandang rendah keupayaan Sri Lanka biarpun atas kertas, pasukan kendalian Datuk K Rajagobal itu tidak akan berdepan masalah merakam kemenangan pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Menurut Rajagobal, biarpun Sri Lanka kini berada di tangga ke-181 dunia, ia tidak boleh dijadikan ukuran kekuatan sebenar negara yang terkenal dengan sukan kriket itu.
“Ranking tidak boleh menggambarkan pasukan itu lemah atau kuat, bagi saya perlawanan dengan Sri Lanka ini penting. Kita perlu menghormati sesiapa saja kerana perlawanan ini membabitkan pasukan kebangsaan,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Biarpun menyenaraikan 26 pemain bagi menghadapi perlawanan berstatus A itu termasuk penyerang Pelita Jaya FC, Mohd Safee Sali, Rajagobal tidak mahu mendabik dada sekali gus menolak andaian awal Malaysia yang menduduki ranking 156 dunia mampu membenam Sri Lanka yang dibimbing jurulatih Korea Selatan, Jang Jung dengan jaringan besar.
“Saya tidak boleh buat rumusan awal, saya juga fikir tidak ada mana-mana jurulatih di dunia ini boleh meramal keputusan,” katanya yang memaklumkan semua pemain sudah bersama pasukan kecuali Safee yang akan tiba dari Indonesia Khamis ini.
Perlawanan dengan Sri Lanka ini adalah perlawanan antarabangsa kedua Harimau Malaya tahun ini selepas seri 1-1 dengan Filipina di Manila pada 29 Februari lalu.
Selain itu, rekod skuad kebangsaan juga masih belum tercalar tahun ini apabila menang 5-0 dengan Kelantan, Sabah 1-0 dan seri 1-1 menentang Sarawak ketika Rajagobal masih lagi dalam proses menguji pemain bagi misi mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF hujung tahun ini.
“Selepas mengadakan perlawanan persahabatan dengan Sabah, Filipina, Sarawak, saya mahu pemain mempamerkan peningkatan,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment