Monday, April 9, 2012

‘Angkara silap, leka tercicir dua mata’


Harian Metro

“SEPATUTNYA kita meraih tiga mata penuh kerana sudah mendahului lawan pada sebahagian besar perlawanan, tapi angkara kesilapan dan kelekaan pemain, dua mata tercicir,” kata ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah.


Negeri Sembilan sekadar mencatatkan keputusan seri 2-2, dengan Sabah dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam kelmarin.




Bagi Azraai, keputusan seri itu seharusnya tidak berlaku selepas skuad bimbingannya mendominasi hampir sebahagian besar perlawanan selain sudah mendahului 2-0 pada sebahagian aksi itu.




“Kita terpaksa berputih mata ketika tiga mata berharga sudah hampir dalam genggaman tapi disebabkan kelekaaan di bahagian benteng, Sabah berjaya menyamakan kedudukan sekali gus gagal meraih kemenangan di laman sendiri.

“Kita sepatutnya mampu memperbaiki kedudukan dalam carta liga tapi terpaksa akur selepas gagal meraih tiga mata malam ini (kelmarin).


“Ini jelas membuktikan terdapat kelemahan di bahagian benteng pasukan yang perlu diperbaiki secepat mungkin bagi memastikan ianya tidak berulang lagi pada perlawanan akan datang,” katanya.





Gol Negeri Sembilan dijaringkan Jean-Emmanuel Effa Owona pada minit ke-51 diikuti Shukor Adan pada minit ke-57 manakala Sabah menerusi Shahrudin Yakub pada minit ke-74 dan Ronny Harun, minit ke-77.

Menurut pengendali berpengalaman itu, anak buahnya mensia-siakan banyak peluang gol dan sekiranya mereka lebih berhati-hati serta fokus, setiap percubaan dilakukan pastinya dapat realisasikan kemenangan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...