Thursday, April 12, 2012

Singa puas ‘makan kecil’

BH Online

Saya bangga dengan aksi pemain simpanan: Jurulatih 

BIARPUN sekadar membariskan beberapa pemain simpanan selepas tonggak utama terpaksa diketepikan kerana kecederaan, Lions XII mampu memastikan kemenangan ke atas Perak 2-1 untuk kekal di tangga teratas Liga Super pada aksi di Stadium Jalan Besar, Singapura, kelmarin.



Bagi jurulatih skuad Seberang Tambak itu, V Sundramoorthy, dia amat berpuas hati dengan komitmen anak buahnya bagi memastikan kemenangan ke-10 liga walaupun suatu ketika kedua-dua pasukan tampak bakal berkesudahan seri 1-1 sebelum Muhamad Irwan Shah mencipta gol kemenangan.



“Mereka bersungguh-sungguh mencari kemenangan, malah disiplin yang diterapkan sepanjang 90 minit perlawanan cukup memberi kesan untuk memastikan tiga mata dan pemain seharusnya berbangga dengan persembahan mereka. 

“Saya akui pemain tampak keletihan selepas beraksi dengan jadual yang agak padat, namun itu sudah lumrah dan saya harus merancang dengan teliti terutama mengenal pasti siapa yang layak beraksi dan siapa perlu direhatkan. 

“Beberapa kecederaan pemain menyebabkan saya terpaksa melakukan perubahan taktikal termasuk menggunakan Isa Halim dan Shahril Ishak hanya pada babak kedua manakala Madhu Mohana direhatkan kerana cedera,” katanya. 

Namun Sundramoorthy ternyata lega dengan kehadiran pemain muda – Shakir Hamzah, Yasir Hanapi dan Shevki Sha'ban yang mempamer aksi konsisten biarpun pertama kali diturunkan dalam kesebelasan utama. 
Dengan status sebagai pendahulu liga, skuad Kota Singa itu juga harus lebih berhati-hati pada saingan liga selepas ini kerana sedar mereka menjadi pasukan yang mahu ditewaskan. 

“Aksi seterusnya berdepan PKNS Sabtu ini dan saya dalam dilema kerana masalah kecederaan masih dirasai sambil tertanya-tanya sama ada Lions XII mampu mengekalkan rentak kemenangan. Jawapan terletak kepada pemain sendiri,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...