Monday, April 9, 2012

Presiden FAM bertegas


Harian Metro

“SEBAGAI Presiden FAM, saya tidak boleh menerima tindakan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang bercadang menjadi orang tengah dalam isu penggantungan Annuar. Saya hanya sokong FAM saja, apa juga tindakan, itu hak Tengku Abdullah sebagai Timbalan Presiden FAM,” tegas Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.


Sultan Ahmad Shah berkata, undang-undang dan peraturan yang ada perlu diikuti semua pihak, jika individu itu terbukti bersalah hukuman setimpal dikenakan kepadanya.




Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tengku Abdullah yang bercadang menjadi orang tengah untuk menjernihkan keadaan antara FAM dan Timbalan Presiden, Tan Sri Annuar Musa yang digantung dua tahun enam bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.




Tegas Sultan Ahmad Shah lagi, individu bersalah pasti berdepan hukuman, kes ini bukan saja berlaku kepada Annuar tapi turut menerima nasib sama adalah Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil sebelum ini.

“Saya harap semua pihak akur dan tidak terus mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM berkaitan isu penggantungan Annuar.


“Keputusan sudah diputuskan, ini bermakna semua pihak perlu menerimanya dengan hati terbuka walaupun mungkin ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu,” katanya.





Sultan Ahmad Shah berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Penghijauan Pahang di Pulau Beram, Pekan, semalam.

Beliau berkata, keputusan sudah diputuskan sama ada ianya disukai atau sebaliknya terpulang kepada individu terbabit, apa yang lebih penting Jawatankuasa Tatatertib sudah melakukan tugas diamanahkan.




“Negara kita mempunyai undang-undang dan peraturan, mereka yang bersalah pasti berdepan hukuman. “Kebebasan bersuara tidak seharusnya digunakan sesuka hati hingga ada pihak sanggup mengeluarkan kenyataan melampau hingga menjejaskan imej FAM yang menjadi badan induk bola sepak di negara ini,” katanya. 


Annuar yang dipilih memegang jawatan ketiga tertinggi dalam FAM pada sidang kongres FAM ke-47 pada 31 Julai 2010 hilang semua jawatannya dalam FAM termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa). Bekas Menteri Belia dan Sukan didapati bersalah mengkritik secara terbuka prestasi skuad kebangsaan.

Ketika ditanya mengenai laporan sebuah akhbar yang melaporkan Annuar perlu membayar kos persidangan Jawatankuasa Tatatertib terhadapnya bernilai lebih RM2,000, beliau memaklumkan tidak tahu-menahu mengenai perkara itu. “Saya akan menghubungi Setiausaha Agung, Datuk Azzuddin Ahmad hari ini (semalam) bagi mendapat penjelasan kerana sebelum ini saya tidak dimaklumkan hal ini,” katanya.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...