KUALA LUMPUR - 'Harimau Berantai Malaya', Safee Sali tetap memandang positif kejayaan dua pemain Harimau Muda, Ahmad Hazwan Bakri dan Wan Zack Haikal Wan Nor menjaringkan gol tatkala dia kempunan membolosi gawang Sri Lanka dalam perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa, kelmarin.
Malah, kata Safee, lima jaringan di Stadium Shah Alam, Selangor ke atas lawan di ranking ke-181 dunia itu membuktikan Malaysia kini mempunyai barisan pemain pelapis yang berbakat besar dan boleh diharapkan untuk terus menyarung jersi skuad senior.
"Ia satu perkembangan sihat, namun saya tidak berasa terancam dengan perkembangan pemain Harimau Muda ini malah tidak terkejut dengan kemampuan mereka (kelmarin) yang sering saya ikuti sepanjang beberapa perlawanan lalu (Sukan SEA, Kelayakan Olimpik dan Liga Singapura).
"Harapan saya selepas ini ialah jurulatih (Datuk K. Rajagobal) dapat terus berikan kepercayaan kepada saya untuk mendapatkan balik sentuhan jaringan dan momentum permainan seperti mana saya lakukan dengan Pelita Jaya sekarang," kata penjaring kedua terbanyak Liga Super Indonesia itu setakat ini.
Bukan sahaja Safee yang dikeluarkan pada minit ke-70, gandingan kesebelasan utamanya di barisan depan, Ahmad Shakir Md. Ali turut terpaksa dikeluarkan oleh Rajagobal bagi memberi laluan muka baru skuad seperti seorang lagi penjaring, Azamuddin Akil.
Terdahulu Safee, ditemui pada majlis pelancaran Liga Komuniti Safee Sali 2012 di Hotel Tune di sini, anjuran ZR Sports Management dengan kerjasama Tune Talk, Planet Football dan SYM Motor yang akan berlangsung dari Sabtu ini hingga 15 Julai ini.
Liga 16 pasukan ini akan dijalankan di sekitar Lembah Klang bagi merebut dua trofi bagi Kelompok Emas (teratas setiap kumpulan) dan Perak (terbawah) pada setiap hujung minggu dengan matlamatnya lebih kepada persaingan sihat dan bersemangat muhibah.
Penganjur turut mengatur dua perlawanan amal persahabatan antara 'Pasukan Sahabat Safee Sali' dengan pasukan jemputan.
No comments:
Post a Comment