Friday, April 20, 2012

Kelantan abai amalan ‘fair play’


Harian Metro

TIDAK ada apa yang perlu dibanggakan Kelantan walaupun menewaskan T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, Selasa lalu.


Menurut penolong pengurus T-Team, Rashid Jusoh, kemenangan 2-1 itu diperoleh secara tidak jujur kerana pasukan pelawat mengabaikan amalan ‘fair play’ (permainan adil).




Kata Rashid, konsep permainan adil diperkenalkan Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa) untuk memastikan semua pasukan tidak menyalahguna peluang yang ada semata-mata mahu meraih kemenangan.




“Itu yang tidak dipraktikkan Kelantan selepas mereka dikejutkan dengan jaringan penyerang kami, Khairul Izwan Khalid di awal babak kedua.

“Cuma kerana inginkan kemenangan, mereka sanggup meneruskan permainan dan tidak menendang bola keluar supaya permainan diberhentikan apabila pemain kami terbaring kesakitan di tengah padang,” katanya.


Menurutnya, pasukannya mungkin dapat memaafkan Kelantan sekiranya cuma sekali saja pasukan lawan tidak menghiraukan amalan permainan adil.



“Namun mereka melakukannya beberapa kali dan tentu mereka bangga dengan taktik kotor kerana gol penyamaan di minit ke-67 berpunca daripada tindakan bermain secara tidak adil.

“Pemain kami, Marco Tulio tercedera dan tidak dapat bangun namun Shakir Shaari enggan memberhentikan permainan dengan menendang bola keluar malah pasukan lawan tetap meneruskan serangan tanpa mempedulikan permintaan pemain kami supaya bola ditolak keluar,” katanya.




Penyerang Kelantan, S Chanturu kemudian melakukan tendangan jarak jauh dan bola terkena kaki pemain pertahanan, Shahril Faizal yang menerjah ke gol sendiri.

“Saingan pusingan pertama Liga Super sudah berakhir dengan kami bermain 11 perlawanan, namun inilah kali pertama kami melihat pasukan yang sanggup mengabaikan amalan permainan adil demi mencari mata penuh.


“Sebelum ini kami bertandang ke Kota Bahru untuk melawan Kelantan namun dalam perlawanan itu mereka tidak bermain begini dan kami hairan kenapa mereka sanggup melakukan perkara yang tidak baik dalam perlawanan di Kuala Terengganu,” katanya.


Rashid dan pegawai T-Team juga menyuarakan rasa tidak puas hati kepada pegawai pasukan Kelantan termasuk jurulatih, Bojan Hodak.


“Namun apa yang dikatakan Hodak ialah beliau bukan pemain yang berada di atas padang dan tidak ada apa dapat dilakukannya.


“Kami kesal kerana sepatutnya pemain Kelantan diberitahu supaya menghormati konsep permainan adil dan bermain secara beretika setiap masa,” katanya.


Sementara itu, pengurus Kelantan, Azman Ibrahim berkata, pasukannya peka dan tahu mengenai amalan permainan adil.


“Semua pemain patut tahu yang permainan adil bermula dengan wisel pengadil dan pemain tidak perlu mengeluarkan bola setiap kali pemain lawan jatuh terbaring.


“Ini kerana ramai pemain yang sanggup menipu di padang dan mereka tidak segan untuk berlakon sakit semata-mata untuk mengelak serangan pasukan lawan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...