Monday, April 30, 2012

Pemain senior berisiko hilang tempat jika abaikan konsistensi



SHAH ALAM - Kemenangan 6-0 ke atas Sri Lanka wajar dipuji walaupun pengendalinya Datuk K. Rajagobal belum mahu cepat berpuas hati.

Tidak mahu para pemainnya terlalu awal dibuai dengan kejayaan itu, Rajagobal mengingatkan apa yang lebih mustahak adalah bagaimana dapat meneruskan aksi yang baik selepas ini.



Malah, dia juga telah memberikan amaran kepada pemain senior agar bersedia kehilangan tempat kepada pemain muda jika gagal memberikan persembahan yang menyakinkan di atas padang.

''Bukan satu perlawanan sahaja pemain boleh bermain baik seperti malam ini tetapi perlu mampu mengekalkan prestasi konsisten dalam perlawanan-perlawanan seterusnya.

''Semua pemain kena harus menunjukkan peningkatan lagi. Jangan fikir apabila sudah meraih kemenangan besar, kita sudah bagus.

''Saya juga mahu pemain muda dapat meneruskan rentak sebegini dan memberikan cabaran kepada pemain-pemain senior.

''Bagi saya, ini sesuatu yang bagus dan mengingatkan kepada semua pemain bahawa sesiapa sahaja boleh mendapat tempat jika bermain dengan baik," katanya pada sidang media selepas perlawanan persahabatan Malaysia dan Sri Lanka di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Kejayaan besar itu turut dipengaruhi aksi memukau pemain dari skuad Harimau Muda A, Ahmad Hazwan Bakri yang berjaya mencipta jaringan hatrik selepas dimasukkan menggantikan Safee Sali dengan jaringan gol pada minit ke-71, 82 dan 90 pada aksi pertamanya bersama skuad senior kebangsaan.
Tiga lagi gol menerusi Wan Zack Haikal Wan Noor (minit ke-24 dan 26) dan 
Azamuddin Akil pada minit ke-85.

Baru berusia 20 tahun, Hazwan kini dianggap antara permata baru skuad negara kerana mempunyai ketajaman penyudah seperti Safee namun masalah kecederaannya sebelum ini membataskan penampilan di atas padang.

Berkata mengenai prestasi Hazwan, Rajagobal mengakui pemain itu bermain dengan cukup cemerlang selain seorang lagi pemain Harimau Muda A, Wan Zack Haikal.

''Pada mulanya Hazwan tidak menjangkakan diturunkan kerana jika hendak dibandingkan dengan pemain-pemain senior lain, dia banyak ketinggalan pada sesi latihan.

''Jadi, sudah tentu dia tidak rasa akan bermain, tetapi apabila saya memberikan peluang, dia memberikan aksi yang baik," katanya.

Sementara itu, jurulatih Sri Lanka, Wasantha Wickramasinghe memuji persembahan skuad negara dan mengakui pasukannya masih kekurangan pengalaman untuk bersaing.

''Kekalahan ini memang besar tetapi saya tidak begitu kecewa kerana sememangnya pasukan anda (Malaysia) memang bermain dengan cukup baik dan menguasai perlawanan sepenuhnya," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...