Thursday, April 19, 2012

Azwan tegur sikap ambil mudah pemain skuad Seladang

BH Online

PENGURUS Perak, Khairul Azwan Harun kurang senang dengan sikap ambil mudah serta cenderung melakukan kesilapan hingga membawa padah kepada skuad Seladang dalam kancah Liga Super 2012 yang mula memasuki pusingan kedua.

Azwan membuat teguran itu ketika mengulas persembahan Perak ketika seri 2-2 dengan Sabah dalam perlawanan pertama pusingan kedua di Stadium Perak, kelmarin.

Pada perlawanan itu, Perak nyaris tumpas gara-gara kesilapan penjaga gol, Mohd Nasril Nourdin ketika membuat tendangan gol yang menyaksikan pelawat menyamakan kedudukan melalui Zainizam Marjan sejurus sebelum rehat.
Persembahan masih kurang mantap. Saya berharap jurulatih akan berusaha memperbaiki kepincangan dan kelemahan yang masih ada. - Khairul Azwan Harun, Pengurus Perak
Perak sebelum itu mendahului menerusi sepakan percuma pemain import, Michal Kubala dari luar kotak penalti pada minit ke-35, malah pemain Slovakia itu membuktikan dia pakar sepakan percuma apabila menyumbat gol penyelamat beberapa saat sebelum wisel penamat.

Azwan yang juga Bendahari Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) berharap, pemain menjadikan perlawanan itu sebagai iktibar dan pengajaran serta berusaha memperbaiki kelemahan yang masih ada.

“Persembahan masih kurang mantap. Saya berharap jurulatih akan berusaha memperbaiki kepincangan dan kelemahan yang masih ada,” katanya yang turut memuji persembahan anak buah Justin Ganai yang bangkit selepas kekalahan kepada skuad Kejor Yob Kejor itu di Likas, minggu lalu.

Mengenai persembahan awang import baru, Albert Dominique Ebosso Bodjongo, Azwan berpuas hati dengan aksi pemain Cameroon itu yang memikat hati penonton walaupun tidak menjaringkan gol. 


“Dia memiliki kemahiran, teknik serta kelajuan sebagai penyerang. Beri dia sedikit masa dan saya yakin dia mampu menyerlah. Agak malang dia kurang mendapat bola dari rakan-rakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...