MARLON (kiri) meledak hatrik ketika membantu ATM membelasah NS Betaria 7-0 di Stadium Hang Tuah, Melaka kelmarin. |
JURULATIH Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan tidak mahu terlalu gembira dengan kejayaan skuad kendaliannya membelasah Negeri Sembilan (NS) Betaria FC 7-0 pada aksi Liga Premier di Stadium Hang Tuah, Melaka kelmarin.
Pemain import dari St Vincent, Marlon Alex James menjadi wira ATM apabila melakukan hatrik pada minit ke-19, 56 dan 79.
Empat gol lagi dijaringkan oleh Fitri Omar pada minit ke-30, Venice Elphi (53), Bruno Marteloto (74) dan Rezal Zambry Yahya (88).
Di sebalik kemenangan besar itu, Sathianathan menyifatkan kedudukan ATM selaku pendahulu liga masih belum selamat selepas berkongsi 29 mata dengan pencabar utama mereka, Pahang.
Kelibat Sime Darby yang turut dilihat antara ancaman utama ATM musim ini juga tidak harus dipandang sepi kerana skuad kendalian Ismail Zakaria itu hanya ketinggalan dua mata di belakang ATM dengan menduduki tangga ketiga.
Justeru, Sathianathan berharap barisan pemainnya tidak terlalu terbawa-bawa dengan kejayaan sebelum ini, sebaliknya terus fokus bagi menghadapi baki saingan Liga Premier musim ini.
Jelas beliau, sikap terlalu yakin perlu dikikis oleh anak-anak buahnya bagi mengelakkan mereka daripada terperangkap sebagaimana ketika tewas 0-2 kepada Pos Malaysia.
"Ketika kami bertemu pasukan kuat, kami berjaya mendapatkan keputusan yang baik tetapi jika bertemu dengan pasukan bukan pilihan seperti Pos Malaysia baru-baru ini, pemain saya gagal beraksi baik sehingga mengundang padah.
"Saya telah memberitahu kepada pemain-pemain saya bahawa mereka tidak boleh terlalu yakin apabila berdepan pasukan kurang ternama. Dalam dunia bola sepak, pelbagai perkara boleh terjadi.
"Kami masih bergelar pendahulu liga tetapi situasi tersebut masih kurang selamat memandangkan Pahang dan Sime Darby terus mengekori rapat di belakang kami.
"Bagaimanapun, saya berbangga dengan persembahan barisan pemain saya ketika menentang NS Betaria dan berharap mereka dapat mengekalkan momentum tersebut," kata Sathianathan ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Selain berazam untuk meneruskan rentak kemenangan pada perlawanan akan datang, Sathianathan menganggap kemampuan pasukannya bakal teruji ketika aksi menentang Pahang pada 15 Jun depan.
"Pahang memiliki ramai pemain berpengalaman dan dibimbing jurulatih berkaliber. Jadi kami harus bersedia mulai sekarang bagi menghadapi Pahang," jelas Sathianathan.
No comments:
Post a Comment