Wednesday, April 25, 2012

Harimau Malaya tidak tertekan


Harian Metro

TIADA tekanan buat barisan pemain Harimau Malaya untuk mempamerkan aksi terbaik dalam aksi persahabatan menentang Sri Lanka di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini walaupun masih dibayangi kejatuhan ranking dunia.


Tanpa menghiraukan kedudukan ke-156 dunia, tumpuan dan fokus kini diberikan dalam usaha mencipta kemenangan pertama dalam aksi persahabatan antarabangsa tahun ini selepas sekadar mengikat Filipina 1-1 pada Februari lalu.


“Tiada perasaan tertekan, ia adalah perlawanan biasa. Malah sebelum ini kami pernah menentang pasukan yang lebih kuat. Namun bagi saya adalah penting untuk mencatatkan kemenangan, tidak boleh seri atau tewas kerana perlawanan ini berlangsung di laman sendiri dan ia mampu membangkitkan moral pemain,” kata tonggak pertahanan negara, Mohd Asraruddin Putra Omar, semalam.




Aksi menentang Sri Lanka yang berada di ranking ke-181 adalah sebahagian persiapan skuad kendalian Datuk K Rajagobal dalam misi penting untuk mempertahankan Piala AFF penghujung tahun ini dengan Malaysia dan Thailand menjadi tuan rumah bersama.

Beberapa pemain tonggak yang beraksi untuk Kelantan dan Terengganu tidak dipanggil Rajagobal untuk perlawanan berstatus ‘A’ kali ini kerana terbabit dalam kancah Piala AFC sekali gus menyaksikan sejumlah pemain baru yang dipanggil mendapat peluang untuk membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa.


Antara tonggak yang tidak tersenarai adalah Khairul Fahmi Che Mat, Norshahrul Idlan Talaha, Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Mohd Ashaari Shamsuddin dan Mohd Muslim Ahmad.





“Mungkin individu lain mempunyai pandangan tersendiri. Namun bagi saya selepas beberapa hari menjalani latihan, barisan pemain yang dipanggil kali ini adalah mantap dan pasukan akan menjadi lebih baik dengan kehadiran pemain Kelantan dan Terengganu selepas ini,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

Pemain yang menjulang pingat emas Sukan Sea 2009 dan 2011 serta Piala AFF 2010 itu turut menggesa peminat tempatan tampil memenuhi Stadium Shah Alam bagi memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada skuad negara yang beraksi buat kali pertama di laman sendiri pada tahun ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...