Wednesday, April 11, 2012

LionsXII kukuh


Harian Metro

LIONSXII mengukuhkan cengkaman mereka sebagai peneraju apabila menewaskan Perak 2-1 dalam aksi tunggal Liga Super yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, malam tadi.


Tuan rumah yang dibimbing V Sundramoorthy mendominasi permainan sejak awal permainan dengan meraih beberapa peluang keemasan bagi menjaringkan gol, namun dihampakan palang gol dan kegopohan jentera serangan kelab Singapura itu.




Perak pula pada babak pertama gagal mengatur serangan berbahaya apabila pemain LionsXII pantas menutup ruang ketika bertahan, namun peluang terbaik mereka hadir menerusi sepakan percuma pemain import, Michael Kubala pada minit ke-14. Jaringan yang dinanti-nanti akhirnya muncul pada minit ke-43 menerusi sepakan penalti Shahdan Sulaiman yang menewaskan Khairul Amri Salehudin di gawang Perak selepas penyerang LionsXII, Khairul Nizam dijatuhkan Syazwan Roslan.




Perak yang dikendalikan Norizan Bakar bagaimanapun tidak menunggu lama pada babak kedua bersambung apabila menyamakan kedudukan menerusi tolakan susulan Kubala pada minit ke-48 selepas sepakan penaltinya diselamatkan penjaga gol lawan.

LionsXII yang menewaskan Perak 2-1 pada pusingan pertama terus menggandakan asakan untuk mencari gol kemenangan selain memasukkan kapten berpengaruhnya, Shahril Ishak pada minit ke-57 dan hasilnya pada minit ke-87, Irwan Shah meledak jaringan kemenangan untuk menewaskan penjaga gol gantian Perak, Mohd Nasril Nourdin.


Mereka kini mengumpul 33 mata selepas mengharungi 15 perlawanan manakala juara bertahan, Kelantan yang baru beraksi 12 perlawanan mengumpul 27 mata dengan Perak kekal di pertengahan Liga Super.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...