Thursday, April 12, 2012

Azraai fokus perkemas pertahanan


Harian Metro

MEMPERKEMASKAN bahagian pertahanan bakal menjadi fokus utama ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah menjelang pertemuan dengan Terengganu dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu, Sabtu ini.


Tindakan itu dilakukan selepas menyedari kelemahan benteng menjadi punca utama kegagalan meraih mata penuh ketika melayani kunjungan Sabah di laman sendiri, Sabtu lalu.




Azraai tidak mahu situasi sama berulang lagi apabila berdepan Terengganu yang juga juara Piala FA musim lalu selain menduduki kelompok teratas carta liga.




“Saya perlu perkemaskan lagi bahagian benteng pasukan kerana jelas terdapat kelemahan ketara namun kehadiran semula Mohd Alif Shamsuddin, yang digantung sebelum ini dapat membantu Marian Farbak mempertahankan gawang.

“Apapun kita kena berhati-hati kerana beraksi di gelangganng lawan bukan mudah dan sebarang kesilapan pasti dihukum, sedangkan kemenangan amat penting dalam memastikan pasukan dapat memperbaiki kedudukan di tempat kelima ketika ini,” katanya.


Begitupun dalam merealisasikan impian itu, Azraai menghadapi masalah kecederaan yang membelenggu penyerang Ahmad Shakir Md Ali.





Menurutnya, dia tiada pilihan kecuali terpaksa menggunakan khidmat penyerang berusia 23 tahun itu bergandingan dengan Jean-Emmanuel Effa Owona bagi memastikan sasaran tiga mata berharga dicapai.

Beliau mengaku anak buahnya bakal berdepan tugas berat apatah lagi Terengganu pasti berazam bangkit selepas diaib Selangor 1-6 pada perlawanan terakhir mereka.



“Saya jangka perlawanan itu pasti sengit dan amat mencabar namun saya yakin kemampuan pemain melakukan aksi terbaik dalam memburu kemenangan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...