Monday, April 23, 2012

Sime Darby hampiri misi


Harian Metro

KOMITMEN dan semangat juang tinggi pemain selain perancangan menjadi membolehkan Sime Darby FC semakin hampir mencipta sejarah muncul kelab pertama melangkah ke pentas final Piala FA sejak mula dipertandingkan pada 1990.


Namun ia terpaksa dibayar dengan harga mahal bagi kelab yang dilabel sebagai ‘pembunuh gergasi’ pada Piala FA musim ini apabila kehilangan peledak utama dari Liberia, Patrick Ronaldinho Wleh pada separuh akhir kedua 1 Mei depan kerana penggantungan satu perlawanan.


“Ia memang satu kehilangan besar selepas dia mendapat kad kuning malam kelmarin (separuh akhir pertama). Namun saya mempunyai pengganti yang boleh diharapkan seperti Razali Umar Kandasamy dan Mohd Zamri Hassan bagi memastikan tiket ke final berjaya dicapai,” kata pengendalinya, Ismail Zakaria.




Kelab Liga Perdana yang mencipta kejutan dalam saingan Piala FA musim ini meneruskan aksi bertenaga dalam separuh akhir pertama malam kelmarin apabila menewaskan juara bertahan, Terengganu 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah menerusi jaringan masa kecederaan babak kedua, Syukur Saidin selepas tuan rumah menafikan jaringan pembukaan Ronaldinho menerusi tonggak importnya, Francis Forkey Doe.

“Kami sepatutnya mendapat jaringan lebih besar. Namun ada perkembangan positif berlaku dalam beberapa perlawanan sejak kebelakangan ini apabila pemain tempatan turut mempamerkan kemampuan menjaringkan gol sekali gus tidak terlalu bergantung kepada pemain import,” katanya.


Ismail bagaimanapun mengakui masih belum mahu menarik nafas lega walaupun Terengganu terpaksa mencari dua gol tanpa bolos dalam aksi timbal balik di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.





“Bermain untuk bertahan dalam baki 90 minit bukan menjadi pilihan. “Saya tetap menerapkan corak menyerang bagi memastikan kami sekurang-kurangnya mampu meledak satu lagi gol untuk mematikan semangat melawan Terengganu,” katanya.

Kemenangan di Kuala Terengganu itu menambahkan lagi keyakinan juara Piala FAM 2010 sekali gus memberikan tekanan ke atas skuad kendalian Mat Zan Mat Aris serta Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang semakin mendapat tekanan peminat berikutan aksi kurang memberangsangkan sejak kebelakangan ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...