Tuesday, April 17, 2012
'Ghaddar, Norshahrul robek gawang T-Team'
THE Red Warriors akan mempamerkan corak permainan lebih mantap dalam pusingan kedua saingan Liga Super dengan kemunculan semula Mohamad Ghaddar yang akan digandingkan dengan Norshahrul Idlan Talaha pada pertemuan dengan T-Team di Stadium Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.
Pengurus pasukan, Azman Ibrahim, berkata barisan serangan dengan dua penggempur berkaliber ini sudah tentu membolehkan Kelantan menyajikan aksi lebih berbisa menghadapi T-Team bagi menebus kegagalan meraih mata penuh, Sabtu lalu.
Katanya, Ghaddar yang dilihat sudah mendapat sentuhan dalam beberapa perlawanan sebelum ini terutama pada saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), memberi keyakinan kepada Kelantan membawa pulang tiga mata penuh dari gelanggang lawan.
“Selain itu, Norshahrul atau Mat Yo, yang agak lama tidak beraksi, kini sudah 100 peratus pulih daripada kecederaannya dan dijangka mampu menghasilkan kejayaan bergandingan dengan Ghaddar nanti.
“The Red Warriors sudah tentu akan bangkit di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah nanti walaupun terpaksa berhadapan dengan keadaan penonton tuan rumah yang inginkan T-Team menewaskan kami,” katanya kepada pemberita, di Kota Bharu, semalam.
Ghaddar baru kelmarin disahkan Persatuan Bola sepak Kelantan (KAFA) tersenarai dalam saingan Liga Super, selepas mengenepikan pemain import dari Nigeria, Nwoha Onyekachi.
Azman berkata, matlamat utama Kelantan ialah untuk merampas kembali takhta Liga Super yang kini dikuasai wakil Singapura, Lions XII dan ia tidak mustahil mampu dicapai dengan gandingan serangan Ghaddar dan Mat Yo.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment