Wednesday, April 25, 2012

Sime Darby ghairah rentap Terengganu

BH Online

PASUKAN berstatus kelab dari Liga Perdana, Sime Darby FC kini giat melakukan persiapan terakhir menjelang seminggu sebelum turun bertemu juara bertahan, Terengganu pada separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Selayang, Selasa ini. 

Skuad kendalian Ismail Zakaria itu mengejutkan banyak pihak apabila menewaskan Terengganu 2-1 pada separuh akhir pertama di Kuala Terengganu, Sabtu lalu dan kini pada landasan terbaik muncul pasukan berstatus kelab pertama beraksi di pentas final Piala FA sejak diperkenalkan pada 1990.

“Persiapan kali ini lebih rapi kerana Terengganu pasti turun habis-habisan untuk baki 90 minit ini ditambah mereka kembali mantap dapat menurunkan Ismail Faruqi Ashari dan Zubir Azmi. Kami perlu siap sedia dengan segala kemungkinan.
“Kami pula tak dapat turunkan penjaring utama, Patrick Ronaldinho Wleh yang digantung perlawanan dan saya perlu mempertajamkan gandingan dua penyerang tempatan, Zamri Hassan dan Razali Umar Kandasamy,” kata Ismail ketika dihubungi, semalam. 

Bagi memastikan barisan pemainnya berada pada momentum terbaik mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 13 perlawanan terakhir sejak tewas 1-2 kepada Johor, 27 Januari lalu, Ismail mengatur aksi persahabatan menentang Selangor di Padang SUK, Shah Alam, petang Jumaat ini. 

“Tanpa kalah 13 perlawanan, ia satu rekod membanggakan yang terhasil daripada semangat tinggi pemain yang beraksi secara berpasukan dan berdisiplin. Ia nyata meningkatkan motivasi pemain yang turut berhajat menjadikan Sime Darby kelab pertama menjulang Piala FA,” jelas Ismail. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...