KAPTEN Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli ingin kemenangan kedua ke atas Negeri Sembilan malam ini bagi mengunci mulut peminat setia skuad itu yang sebelum ini lantang mengkritik prestasi tidak menentu skuad kendalian Mat Zan Mat Aris itu.
Kapten berusia 26 tahun itu berkata, walaupun beraksi di laman lawan, ia tidak menghalang mereka menaruh harapan untuk pulang dengan tiga mata selepas menang 1-0, Sabtu lalu.
Bekas penjaga gol kebangsaan itu yang melepaskan enam gol ketika tewas kepada Selangor minggu lalu turut mengharapkan rakan sepasukan memperagakan aksi terbaik untuk mencatat kemenangan, terutama perlawanan itu membabitkan aksi pertama pusingan kedua.
“Kejayaan menewaskan Negeri Sembilan itu memberi keyakinan tinggi kepada saya untuk beraksi lebih baik kali ini,” katanya yang mengaku masih dihantui kekecewaan ketika tewas kepada Selangor dengan jumlah jaringan besar.
“Bagi menjamin kemenangan, saya akan cuba tidak melakukan kesilapan selain mengharapkan rakan sepasukan juga tidak membuka ruang kepada lawan,” katanya.
Sementara itu, jurulatih T-Team, Yunus Alif turut mengharapkan aksi cemerlang diteruskan malam ini.
“Saya bangga dengan semangat pemain yang tidak putus asa dan berharap pertemuan dengan T-Team mampu mencatat kemenangan untuk mengutip mata penuh di laman sendiri,” katanya.
No comments:
Post a Comment