PEMINAT Penyu memberi kata dua kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sama ada mengubah strategi permainan menentang kelab Song Lam Nghe An dari Vietnam dalam saingan Kumpulan F Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) atau berdepan satu lagi bantahan yang dijangka disertai lebih ramai penyokong setia di perkarangan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam esok.
“Peringatan keras ini bukan bertujuan menggertak Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh yang tetap dengan pendiriannya tidak akan meletak jawatan tetapi untuk kebaikan pasukan yang tidak memperagakan aksi konsisten,” kata jurucakap Kelab Penyokong Terengganu (TFC), Mohd Hazrul Hanafi.
Mohd Hazrul berkata, peminat setia skuad itu mendesak Che Mat dan jurulatih, Mat Zan Mat Aris meletak jawatan tapi jika enggan mengundur diri, mereka perlu bertanggungjawab terhadap kemerosotan berlaku dalam pasukan dan perlu membuat perubahan yang lebih baik.
“PBSNT perlu faham peminat tetap sayangkan pasukan negeri dan mereka yang datang dari pelbagai daerah terpaksa berkorban termasuk kewangan semata-mata memberi sokongan kepada Terengganu tapi jika permainan membosankan dipamerkan pemain, Che Mat dan Mat Zan perlu mencari punca kemerosotan dan memperbaiki keadaan serta perlu bertanggungjawab.
“Jika persembahan sama ketika bertemu Sime Darby FC, Sabtu lalu berulang dan tidak ada perubahan, bantahan lebih besar akan diadakan sebaik selesai perlawanan dengan kelab dari Vietnam itu,” katanya.
Nada sama disuarakan satu lagi kelab penyokong, Peteh yang menuntut pengurusan dan jurulatih merencana strategi baru untuk memperbaiki persembahan Terengganu yang tampak longlai.
Setiausaha Peteh, Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata, PBSNT perlu menjadikan perlawanan dengan Sime Darby sebagai iktibar untuk mencari idea baru bagi memperkemas persembahan pasukan.
“Peteh yakin jika perubahan strategi dan formasi dilakukan, Terengganu mampu mengekalkan prestasi terbaik terutama dalam pertembungan dengan kelab Vietnam itu,” katanya.
“Saya tertekan dengan situasi sekarang, rasa tak gembira dan tidak tenang untuk mengendali pasukan. Saya sedia berundur jika itu jalan terbaik. Terserah kepada PBSNT untuk membuat keputusan walaupun saya tetap mahu membimbing Terengganu,” katanya.
No comments:
Post a Comment