Friday, April 20, 2012

Janji lakar kejutan


Harian Metro

‘PEMBUNUH gergasi’ Piala FA musim ini, Sime Darby FC menjanjikan kejutan berterusan apabila menentang juara bertahan, Terengganu yang mencatatkan keputusan tidak menentu sejak akhir-akhir ini apabila mereka berentap pada separuh akhir pertama, malam esok.


Kelab Liga Perdana kendalian Ismail Zakaria dianggap bukan pilihan dalam senarai empat pasukan terakhir yang turut membabitkan Terengganu, Kelantan dan Kedah, selepas melakar kejutan berterusan menyingkirkan pesaing lebih hebat bermula dengan Sabah (pusingan pertama), USM FC (pusingan kedua) dan Johor FC (suku akhir).


Kejayaan dalam kancah Piala FA selain persembahan konsisten Liga Perdana dengan kali terakhir tewas pada Januari lalu meningkatkan keyakinan Ismail untuk mencuri sekurang-kurangnya satu gol dalam pertemuan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah bagi membawa kelebihan jaringan untuk aksi timbal balik pada 1 Mei ini.




“Jika pemain mengikut perancangan ditetapkan, saya yakin ia dapat dilaksanakan walaupun beraksi di tempat lawan. Yang penting mereka kekal fokus dan bermotivasi tinggi apabila menentang pasukan yang mempunyai ramai pemain bintang seperti Terengganu.

“Jadual padat diharungi lawan kerana turut bersaing dalam Piala AFC pasti menjejaskan mereka. Saya berasa prestasi mereka menurun ketika menentang Selangor (tewas 1-6) dan Negeri Sembilan (1-1) baru-baru ini,” katanya yang membimbing Sime Darby FC menjulang Piala FAM, dua tahun lalu.


Ismail berkata, Terengganu yang dikendalikan Mat Zan Mat Aris itu juga dikhabarkan akan kehilangan penyerang berbisa, Francis Forkey Doe kerana penggantungan perlawanan serta kapten yang juga pertahanan berpengaruh, Mohd Marzuki Yusof.





“Kami pula hanya kehilangan seorang pemain pertahanan,” katanya sambil memberitahu jentera serangan bakal diketuai tonggak import dari Liberia, Patrick Ronaldinho Wleh yang mempamerkan aksi cemerlang setakat ini. Mereka juga mempunyai import baru dari Brazil, Leandro Santos Pinto yang beraksi di bahagian tengah dan tampil buat kali kedua di Kuala Terengganu selepas beraksi menentang Harimau Muda B dalam Liga Perdana pada Isnin lalu.

Andai berjaya melakukan kejutan dengan menyingkirkan Terengganu, Sime Darby FC akan melakar sejarah sebagai kelab pertama beraksi di pentas final sejak Piala FA mula dipertandingkan pada 1990.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...