Wednesday, April 18, 2012

PFA gugur 10 pemain


PERSATUAN Bola Sepak Perlis (PFA) tidak bersedia bertolak ansur dalam usahanya memulihkan kembali imej skuad Singa Utara yang tercalar akibat prestasi kurang memberangsangkan pada kempen Liga Perdana musim ini.


Hakikat itu terbukti apabila 10 daripada 25 pemain skuad yang disenaraikan untuk menggalas cabaran pada awal musim digugurkan dalam proses rombakan yang disifatkan terbesar, setakat ini.




Masalah disiplin selain disyaki terbabit dengan gejala menjual permainan atau rasuah dikenal pasti antara punca tindakan drastik itu dilakukan.

Selain faktor itu, turut menyumbang kepada tindakan itu ialah kegagalan memenuhi tahap prestasi ditetapkan (KPI), masih dihantui kecederaan dan mempunyai komitmen selepas ditawarkan jawatan dengan sebuah jabatan kerajaan.

Presiden PFA, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ia dilakukan dengan matlamat memulih imej skuad itu yang tercalar akibat kegagalan kempen Liga Perdana, setakat ini.


Selepas mengharungi 13 perlawanan, skuad bekas juara dua kali Piala Malaysia (2004 dan 2006) dan juara Liga Super (2005) itu sekadar mengumpul sembilan mata menerusi dua kemenangan dan tiga kali seri untuk berada di tangga ke-10.





Antara 10 pemain baru yang menandatangani kontrak menyarung jersi skuad biru kuning itu ialah awang import Sierra Leone, Mamadu Bah, 31, yang pernah beraksi dengan kelab Halmstad, Sweden sebelum menyarung jersi Al-Sailiya di Qatar.

Pemain lain membabitkan Mohd Afandi Zamzam (Johor), Mohd Furdaus Yussof (Selangor PKNS), Mohd Faqeem Aswad Mohd Fauzi (Perlis), Muhamad Hardi Ahmad (KL Felda United), Mohamad Khairul Asyraf Ramli (Kelantan), Mohamad Syafiq Abd Samad dan Khairul Nizam Hassan (ATM), Mohd Hafiz Deli (UiTM) serta Muhamad Iqbal Harizam (Perlis).




Sepuluh pemain yang digugur adalah Mustafa Amini Ismail, Mohd Nazrin Baharuddin, Amzar Junaidi Abd Jalil, Ahmad Kamal Jamalul Rahman, Wan Mohd Alif Khairee, Mohd Ridzuan Othman, Puvinderan Naidu a/l Kalaichelvan, Syed Abdu Ghaffar Syed Amir, Mohd Khairul Azuan Rosli dan Mohd Alif Aswat Baharin.

Sementara itu, Shahidan berkata, langkah PFA itu bermatlamat meletakkan kembali skuad di landasan betul selepas mempamerkan aksi buruk musim ini.


Justeru, beliau berharap perubahan itu mampu meningkatkan tahap persembahan dan memastikan skuad itu mencipta kejayaan pada baki 11 perlawanan pusingan kedua Liga Perdana.


“PFA harap skuad berwajah baru ini mampu menunjukkan persembahan memberangsangkan bagi meningkatkan kembali kedudukan ke kelompok terbaik dan seterusnya paling penting kembali ke saingan Liga Super musim depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...