MAT ZAN (kiri) mengingatkan pemain-pemainnya agar tidak memandang mudah kemampuan Sime Darby pada perlawanan malam ini. |
PERJUANGAN Terengganu untuk memburu tiket ke perlawanan akhir Piala FA buat tahun kedua berturut-turut bermula malam ini apabila juara bertahan itu diundi menentang pasukan kerdil, Sime Darby pada aksi separuh akhir pertama.
Ibarat langit dan bumi, pertemuan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu ini pasti memberi kelebihan buat skuad bertaraf bintang kendalian Mat Zan Mat Aris itu.
Namun, Mat Zan awal-awal lagi memberi amaran kepada anak-anak buahnya agar tidak memandang mudah pertemuan menentang kelab dari Liga Perdana itu yang diperkuatkan dengan kehadiran penyerang import dari Liberia, Patrick Ronaldinho.
“Ini adalah saingan Piala FA dan mana-mana pasukan yang berada dalam kelompok empat pasukan terakhir, maka mereka adalah pasukan terbaik.
“Jadi, tidak timbul persoalan mengenai reputasi pasukan Sime Darby sebagai pasukan kerdil kerana mereka telah membuktikan kemampuan mereka dengan layak ke separuh akhir.
“Harus diingat, Sime Darby juga memiliki ramai pemain terbaik yang mampu memberi ancaman kepada kami,” kata Mat Zan kepada Kosmo! semalam.
Untuk rekod, Terengganu yang menewaskan Kelantan pada final Piala FA musim lalu kini menduduki tangga ketiga dalam kempen Liga Super.
Sime Darby pula yang mencipta kejutan dengan mara ke separuh akhir Piala FA juga berada di kedudukan ketiga dalam saingan Liga Premier, ketinggalan di belakang dua pasukan gergasi, ATM dan Pahang.
“Kami sudah sampai ke tahap ini (separuh akhir) dan kami hanya selangkah untuk ke final dan seterusnya cuba mempertahankan piala yang dimenangi tahun lalu.
“Saya hanya berharap agar mana-mana pemain yang diturunkan dapat memberikan aksi terbaik mereka,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mat Zan juga berharap anak-anak buahnya tidak sesekali memberi peluang kepada pasukan lawan untuk membolosi gawang Terengganu.
“Ini adalah perlawanan separuh akhir dan jika lawan berjaya menjaringkan gol di sini, sudah pasti kelebihan memihak kepada mereka berdasarkan jaringan tempat lawan.
“Pemain seperti Ronaldinho yang telah menjaringkan sembilan gol dalam Liga Perdana perlu sentiasa diawasi kerana dia merupakan penjaring utama pasukan Sime Darby,” ujarnya lagi.
Menurut Mat Zan, perlawanan malam ini bakal menyaksikan pasukannya kehilangan khidmat dua tonggak utama, Zubir Azmi dan Ismail Faruqi yang masing-masing digantung satu perlawanan.
Keadaan Muslim Ahmad juga masih dalam keraguan selepas dihimpit kecederaan baru-baru ini.
“Ada sedikit rombakan dalam pasukan tetapi saya percaya semua yang disenaraikan adalah yang terbaik buat pasukan,” katanya.
No comments:
Post a Comment