Monday, April 23, 2012

Ahmad jumpa pengurusan, jurulatih


Harian Metro

BERIKUTAN kemerosotan mendadak mutu pasukan bola sepak Terengganu, satu perjumpaan khusus antara Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, pihak pengurusan dan jurulatih Terengganu akan diadakan esok.


Ahmad berkata, perjumpaan itu bertujuan untuk mencari jalan di samping membincangkan beberapa perkara penting dalam usaha mengatasi masalah yang dihadapi itu.




“Saya akan bincang dengan pihak pengurusan kanan dan juga jurulatih pasukan apa sebenarnya masalah yang dihadapi menyebabkan mutu pasukan merosot secara mendadak.




“Saya akan memberikan pandangan dan idea bagaimana cara mengembalikan kegemilangan pasukan sekiranya mereka mahu menerima,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kekalahan memalukan Terengganu 1-2 kepada pasukan Sime Darby yang berstatus kelab pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA, kelmarin.

Mengulas lebih lanjut, Ahmad berkata mengikut pandangannya perubahan dan strategi perlu difikirkan pihak pengurusan memperbetulkan keadaan.


“Dalam hal ini, saya nampak masih ada ruang untuk kami perbetulkan. Sebab itu saya sudah tetapkan pada 24 April ini untuk mengadakan perjumpaan dengan pihak pengurusan dan jurulatih,” katanya.





Ahmad berkata tidak mustahil pasukan Terengganu mampu melangkah ke perlawanan akhir Piala FA kerana dalam bola sepak semuanya boleh berlaku.

Menurut beliau, tidak bermakna Terengganu ketinggalan 1-2 kepada pasukan kelab Sime Darby dalam perlawanan separuh akhir pertama kelmarin, pasukan itu tidak boleh bangkit dalam perlawanan kedua nanti.




Beliau turut meminta peminat dan penyokong pasukan Terengganu rasional dan tidak bertindak melulu sekiranya tidak berpuas hati kepada pengurusan dan jurulatih pasukan.

Kelmarin, kira-kira 500 orang peminat dan penyokong Terengganu berkumpul di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kerana tidak berpuas hati kekalahan Terengganu kepada Sime Darby dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA.


Terengganu akan bertemu Sime Darby pada separuh akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang 1 Mei ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...