HARIMAU Muda kembali menemui sentuhan kemenangan selepas bangkit menerusi dua jaringan hasil sepakan penalti pada babak kedua untuk menewaskan Woodlands Wellington 2-1 dalam saingan Liga Singapura (Liga-S) di Stadium Yishun, Singapura, malam tadi.
Nasib tidak menyebelahi Harimau Muda selepas Izham Tarmizi bertindak membentes pemain Woodlands Wellington yang menyaksikan pengadil K Kalimuthu tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti dan Soon Ho mudah menyepak masuk untuk memastikan pelawat selesa di depan dengan jaringan 1-0.
Ketika aksi memasuki minit ke-32, Gary Steven Robbat terlepas peluang keemasan untuk menyamakan jaringan selepas bola hantaran Ahmad Hazwan Bakri sekadar dirembat lemah mudah ke dakapan penjaga gol lawan, Ahmadulhaq Che Omar malah pada minit ke-37 Wan Zack Haikal turut terlepas peluang mencipta jaringan menerusi sepakan penalti.
Sebaik babak kedua bermula, anak didik Ong Kim Swee mengasak bertubi-tubi ke kawasan Woodlands Wellington dan hasilnya penalti kali kedua dihadiahkan kepada skuad muda negara pada minit ke-54 selepas Gary dijatuhkan oleh Goh Swee Swee dan dia yang mengambil sepakan itu mudah menewaskan Ahmadulhaq.
Penalti kali ketiga diraih Harimau Muda pada minit ke-69 selepas Swee Swee menjatuhkan Wan Zack Haikal yang menyaksikan pengadil melayangkan kad kuning kedua dan seterusnya kad merah dan Gary memastikan gol kedua peribadi terhasil untuk memberikan kemenangan tipis 2-1.
No comments:
Post a Comment